Selebriti

“Patuhilah janji temu vaksin” – Siti Nordiana

- Diterbit 14 Jun 2021 2:21 AM MYT

SEBELUM ini, negara berdepan masalah keengganan sebahagian masyarakat mendaftar bagi menerima suntikan vaksin COVID-19, kerana terpengaruh dengan golongan antivaksin.

Kini timbul pula masalah mereka yang tidak hadir janji temu masing-masing tanpa sebab munasabah.

Bagi penyanyi popular Siti Nordiana, 36, ketidakhadiran ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV), sedikit sebanyak menjejaskan sasaran kerajaan dalam memastikan 80 peratus rakyat divaksin bagi mendapat imuniti kelompok.

“Ruginya mereka yang tidak hadir ke PPV sedangkan ramai lagi yang masih tertunggu-tunggu untuk mendapatkan vaksin. Ada yang hari-hari melihat status jadual pemvaksinan di aplikasi MySejahtera, tapi Masih belum ada rezeki.

“Jadi, apabila ada yang sengaja tidak hadir ke PPV, saya rasa terkilan mendengarnya. Pemvaksinan ini adalah untuk kebaikan kita bersama dalam menerangi COVID-19.

“Bukan itu sahaja, ia juga adalah tanggungjawab kita sebagai rakyat Malaysia dan sesama manusia. Bagaimana dengan sasaran kerajaan untuk mencapai 80 peratus rakyat divaksin jika ada yang tidak memberikan kerjasama.

“Saya sedar vaksin bukanlah seratus peratus kalis jangkitan COVID-19, tapi sekurang-kurangnya risiko untuk dijangkiti Itu adalah rendah. Jadi, saya nasihatkan patuhilah janji temu vaksin masing-masing,” ujar Siti Nordiana yang berharap mereka yang tidak hadir menerima vaksin membuat penjadualan semula di MySejahtera.

“Saya tahu, ada yang bukan sengaja tidak hadir. Mungkin ada masalah pengangkutan atau perkara-perkata yang tak dapat dielakkan.

“Jangan risau, kepada mereka yang terlepas tu, masih ada peluang. Lakukanlah penjadualan semula.

“Marilah kita sama-sama berganding baju memerangi COVID-19. Selain menerima vaksin, teruskanlah melakukan penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan duduk di rumah jika tiada hal penting di luar.

“Sekarang ini semuanya sudah canggih. Gunakanlah teknologi ini untuk selesaikan urusan anda,”jelansya lagi yang sudah menerima dos pertama vaksin AstraZeneca di Universiti Malaya, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Tentang kerjaya, Siti Nordiana sedang mempromosi lagu Cukup Derita Itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas