Berita

Itu bukan gambar Guan Eng pengerusikan mesyuarat TH

GAMBAR tular ini sebenarnya ketika Mujahid bersama pegawai Jakim mengadakan kunjungan hormat ke atas Guan Eng bagi menjelaskan mengenai konsep Rahmatan Lil'alamin di Kementerian Kewangan pada 18 Februari lalu.
- Diterbit 19 Februari 2020 11:36 AM MYT

PUTRAJAYA – Gambar yang tular kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat Lembaga Tabung Haji (TH) dengan dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusof adalah satu fitnah yang dilakukan pihak tidak bertanggungjawab.

Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri  dalam satu kenyataan menjelaskan, gambar yang tular di media sosial itu sebenarnya menunjukkan sesi kunjung hormat Mujahid ke atas Guan Eng  bagi memberikan penerangan mengenai gagasan Rahmatan Lil’alamin pada 18 Februari lalu yang turut disertai beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Penyebaran gambar itu dilihat disengajakan dengan tujuan sempit bagi menyebarkan kebencian kaum dan agama di negara ini,”

“Ia juga merupakan satu tuduhan yang sangat tidak berasas dan tidak bertanggungjawab,” kata kenyataan itu.

Kata kenyataan itu, satu laporan polis telah dibuat berhubung penularan gambar berkenaan dan orang ramai dinasihatkan agar tidak mempercayai sebarang penularan berita palsu yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

“Kami turut memaklumkan bahawa menurut Akta Tabung Haji 1995, menteri yang bertanggungjawab ke atas TH ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama Islam dan bukannya Menteri Kewangan,” kata kenyataan itu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas