Berita

Covid-19: Pasangan suami isteri ditahan di Lapangan Terbang Labuan

PASANGAN suami isteri ditahan di Lapangan Terbang Labuan malam semalam kerana disyaki dijangkiti Covid-19. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Februari 2020 12:22 PM MYT

LABUAN – Pasangan suami isteri ditahan di Lapangan Terbang Labuan pada malam semalam (Selasa) selepas disyaki dijangkiti Covid-19.

Suami yang berumur 30 tahun yang berasal dari Labuan manakala isterinya, 22, berasal dari Shandong, China ditahan ketika tiba dari Kuala Lumpur selepas pegawai Imigresen mendapati mereka telah melawat China baru-baru ini.

Berdasarkan siasatan awal, pasangan tersebut baru pulang dari Xiamen, China pada 17 Februari lalu dan menaiki penerbangan dari Kuala Lumpur ke Labuan malam semalam dan isterinya mengakui mengalami batuk sejak dua minggu lalu.

Pengarah Kesihatan Labuan, Dr. Ismuni Boharui berkata, pasangan itu kini ditempatkan di sebuah bilik pengasingan bagi tujuan kuarantin di Hospital Labuan dan kini dalam kajian Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Labuan.

“Pihak polis turut membantu Kementerian Kesihatan untuk mengesan penumpang yang duduk bersebelahan dengan kedua-dua pasangan itu dalam penerbangan yang sama atau penginapan di sini,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pelajar perempuan warga China dari sebuah institut pengajian tinggi di sini dikuarantin sejak Isnin lalu selepas tiba dari salah satu wilayah China.

“Ia merupakan langkah dan prosedur yang ditetapkan pihak Kementerian Kesihatan pada masa ini. Keadaan pelajar itu baik dan kini dia belajar secara atas talian,” katanya.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas