Berita

JPM nafi Guan Eng pengerusi mesyuarat TH

GAMBAR yang tular di media sosial kononnya Guan Eng mempengerusikan mesyuarat TH.
- Diterbit 19 Februari 2020 11:22 AM MYT

PUTRAJAYA – Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof hari ini menafikan dakwaan kononnya Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mempengerusikan mesyuarat berkaitan Lembaga Tabung Haji (TH) seperti gambar yang tular di media sosial.

Jelas Mujahid, gambar itu sebenarnya sesi kunjung hormat yang dilakukannya bagi memberi penerangan mengenai gagasan Rahmatan Lil’Alamin pada 18 Februari tahun lepas yang turut disertai beberapa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Penyebaran gambar itu dilihat disengajakan dengan tujuan sempit bagi menyebarkan kebencian kaum dan agama di negara ini.

“Ia juga merupakan tuduhan yang tidak berasas dan tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, kata Mujahid, laporan polis dibuat berhubung penularan gambar berkenaan dan menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang penularan berita palsu yang dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

“Kami turut memaklumkan bahawa menurut Akta Tabung Haji 1995, menteri yang bertanggungjawab ke atas TH ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang menguruskan hal ehwal agama Islam dan bukannya Menteri Kewangan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas