Berita

Israel luluskan pembinaan penempatan baharu di Tebing Barat

- Diterbit 15 Oktober 2020 7:31 AM MYT

ISRAEL meluluskan 2,166 kediaman baharu di penempatan di Tebing Barat pada Rabu, untuk pertama kalinya sejak ia menghentikan rancangan pencerobohannya di Tebing Barat, lapor agensi berita Xinhua.

Jawatankuasa Perancangan Tinggi Pentadbiran Awam Israel di Tebing Barat dalam satu kenyataan berkata pihaknya memberikan kelulusan akhir untuk pembinaan 1,313 unit perumahan di beberapa penempatan. Sebanyak 853 unit tambahan masih menunggu kelulusan akhir.

Langkah itu menandakan pertama kalinya Israel meluluskan unit perumahan baharu di penempatan itu sejak ia menandatangani perjanjian memulihkan hubungan dengan Emiriah Arab Bersatu. Sebagai sebahagian daripada perjanjian itu, Perdana Menteri Benjamin Netanyahu bersetuju menangguhkan rancangan kontroversinya untuk melakukan pencerobohan ke beberapa bahagian di Tebing Barat.

Nabil Abu Rudeineh, jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas, mendesak masyarakat antarabangsa untuk menekan Israel supaya menghentikan penambahan penempatan tersebut.

“Keputusan Israel itu melanggar semua resolusi yang disahkan di peringkat antarabangsa, termasuk Resolusi 2334 yang menganggap semua penempatan Israel di tanah negara Palestin tidak sah,” kata Abu Rudeineh dalam satu kenyataan.

Sebahagian besar masyarakat antarabangsa menganggap penempatan itu melanggar undang-undang antarabangsa dan menghalang langkah perdamaian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas