Kapasiti makmal COVID-19 dijangka meningkat – Adham Baba

Kapasiti makmal COVID-19 dijangka meningkat – Adham Baba

KAPASITI makmal COVID-19 di negara ini dijangka terus meningkat untuk lebih banyak ujian sampel, terutama dari kawasan zon merah dan kuning wabak itu, serta aktiviti saringan dan pengesanan aktif kontak rapat dilakukan.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata sehingga semalam (14 Okt), sebanyak 42 peratus kapasiti makmal COVID-19 negara telah digunakan.

“Di Sabah, Makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu (MKAKK), makmal di Hospital Queen Elizabeth dan Makmal Universiti Malaysia Sabah (UMS) dengan kapasiti 2,500 ujian sehari sudah beroperasi. Baki sampel dari keseluruhan Sabah dihantar dengan penerbangan ihsan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke Semenanjung.

“Selain itu, makmal di Klinik Kesihatan Tawau Kubota sedang dilengkapkan supaya dapat menjalankan ujian Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan dijangka beroperasi dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dr Adham berkata Kementerian Kesihatan (KKM) terus memperkukuhkan kesiapsiagaan pelbagai aspek kesihatan dalam mendepani wabak itu, termasuk meningkatkan kapasiti maksimum makmal COVID-19 kepada 54,706 ujian RT-PCR setiap hari.

Katanya, pencapaian itu hasil kerjasama bersepadu kesemua 61 makmal di bawah KKM, Angkatan Tentera Malaysia, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Universiti Awam dan Swasta serta makmal swasta.

Sementara itu, sebanyak 13 makmal Universiti Awam (UA) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan makmal swasta juga sedang menggembleng sumber ke tahap maksimum, katanya.

Beliau berkata bagi membantu pengesanan awal kes positif COVID-19 lebih banyak di lapangan, ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK-Ag) telah digunakan.

“KKM akan terus mempertingkatkan usaha bersepadu dengan pelbagai pihak untuk menjayakan usaha membendung COVID-19,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES