Berita

Ismail arah siasatan menyeluruh kenal pasti gangguan LRT

LRT Kelana Jaya dijangka beroperasi lebih awal.
- Diterbit 14 November 2022 5:18 AM MYT

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan jawatankuasa khas melakukan siasatan menyeluruh berhubung gangguan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Rapid Rail laluan Kelana Jaya yang berlaku pada 9 November lalu.

Ismail berkata ia merupakan kejadian kali kedua berlaku semasa beliau menjadi Perdana Menteri dan tidak mahu perkara sama berulang.

“Kita tidak mahu perkara ini berulang lagi kerana ia membebankan rakyat. Jawatankuasa khas itu akan menyiasat bukan sahaja dari segi punca kerosakan tetapi siasatan itu perlu secara menyeluruh,” katanya.

Sebelum ini, Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) mengumumkan perkhidmatan LRT antara stesen Kelana Jaya dan Ampang Park digantung tujuh hari bermula 9 hingga 15 November susulan perkhidmatan yang didapati tidak stabil.

Bagaimanapun, Ismail berkata laluan LRT Kelana jaya dijangka beroperasi dengan selamat lebih awal daripada jangkaan asal 15 November ini.

“Semua sistem keselamatan dan kawalan tren automatik (ATC) adalah stabil berdasarkan data pengujian yang dilakukan menggunakan 38 set tren di sepanjang laluan Gombak-Putra Heights.

“Sistem isyarat dan komunikasi sedang diuji dan akan diuji lagi malam ini bagi memastikan LRT itu bersedia untuk beroperasi dengan selamat lebih awal dari 15 November,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program bersama penduduk di Kampung Batu Papan di sini hari ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas