Berita

“Atuk sayang semua cucu atuk,” – Ismail Sabri

SEBAHAGIAN anak-anak orang asli, Kampung Paya Badak, Temerloh, Pahang bergambar bersama Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) semasa tinjauannya, hari ini.
- Diterbit 13 November 2022 11:41 AM MYT

TERPANCAR wajah kegembiraan anak-anak masyarakat orang asli Kampung Paya Badak, Temerloh, Pahang sewaktu menerima kunjungan daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.

Dalam tinjauan itu, beliau yang berpakaian serba biru kelihatan teruja apabila kehadirannya disambut baik oleh seluruh penduduk kampung tersebut.

Biarpun berada di bawah terik matahari, namun beliau tetap mengambil kesempatan itu untuk beramah mesra dan bergambar dengan anak-anak tersebut untuk dijadikan foto kenangan.

“Sambutan sangat meriah…. Terima kasih semua,” katanya di laman media sosial Facebook dan Instagramnya.

Lebih menarik perhatian seluruh masyarakat Malaysia apabila beliau mengungkap kata-kata ‘atuk sayang semua cucu-cucu atuk’ selepas sesi tinjaun tersebut.

Meninjau di ruang komen Instagram dan Facebook Ismail Sabri, rata-rata orang ramai memuji sikapnya beramah mesra dengan anak-anak tersebut.

“Suka tengok Pak Long beramah mesra dengan budak-budak, PM berjiwa rakyat menyantuni semua golongan tanpa mengira umur,” ujar @mirulemir di ruangan komen Instagram Ismail Sabri.

“Semoga PM akan terus menyantuni kaum orang asli walau dimana berada. Mereka sentiasa perlukan pertolongan kerana mereka juga mempunyai hasrat utk maju dalam kehidupan ,” kata @AkillaAkmar di ruangan komen Facebook Ismail Sabri. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas