Berita

Ironman tawar slot Kejohanan Dunia

GEOFF (kiri) ketika mengumumkan pelancaran Ironman 70.3 yang akan diadakan April tahun depan.
- Diterbit 5 September 2019 9:22 AM MYT

KUALA LUMPUR – Syarikat milik Kumpulan Sukan Wanda, Ironman menjadi entiti pertama yang menganjurkan pesta sukan yang melibatkan empat perlumbaan lasak iaitu Ironman 70.3, triathlon 5150, ironkids serta sprint triathlon yang dijadualkan berlangsung di Desaru, Johor bermula 17 hingga 19 April tahun depan.

Bagi peminat tegar sukan Ironman, pihak penganjur turut menawarkan 60 slot kelayakan ke Kejohanan Dunia yang dijadualkan berlangsung selama dua hari bermula pada 29 November 2020 di Taupo, New Zealand.

“Kami berasa teruja untuk mengumumkan pelancaran pesta sukan ini buat julung-julung kalinya berlangsung di Asia. Ini sekali gus menunjukkan betapa triathlon begitu digilai ramai di rantau ini.

“Pesta sukan ini diatur khas engan pelbagai jernis format perlumbaan dan jarak yang boleh dipilih oleh para peserta mengikut kemampuan masing-masing,” kata Pengarah Urusan Ironman Asia, Geoff Meyer di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Perlumbaan Ironman 70.3 akan dimulai dengan cabaran berenang sejauh 1.9 kilometer (km) diikuti berbasikal sejauh 90km. Para peserta kemudiannya perlu melakukan larian sejauh 21.1km menuju ke garisan penamat di The Westin Desaru Coast Resort.

Ironman 70.3 serta 5150 triathlon bakal menjadi acara ketiga dan keempat sirkit Ironman Asia yang dianjurkan di negara ini selepas Iroman Malaysia dan Ironman 70.3 Pulau Langkawi.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas