Berita

Pasukan dodgeball negara buru kejuaraan hatrik

PASUKAN Malaysia bersedia menghadapi Kejohanan Dodgeball Dunia 2019 di Mexico pada November ini. - Gambar hiasan
- Diterbit 5 September 2019 9:24 AM MYT

KUALA LUMPUR – Pasukan dodgeball lelaki negara berpeluang cerah untuk merangkul gelaran juara dunia secara hatrik selepas dijadualkan beraksi pada Kejuaraan Dodgeball Dunia 2019 di Cancun, Mexico bermula pada 26 November hingga 1 Disember depan.

Ketua penyelaras kejurulatihan dodgeball negara, Gopal Raman percaya, potensi untuk mencapai impian itu sangat tinggi memandangkan pasukan tersebut merupakan pe­nyandang juara dunia dalam dua edisi berturut-turut.

Justeru, Gopal mengakui mereka kini sedang bekerja keras untuk melakukan persiapan terbaik sejak April lalu selain turut mengadakan latihan pusat bermula minggu lalu.

“Para pemain akan menjalani latihan merangkumi kecergasan, teknikal dan strategi. Pada latihan pusat ini, kita akan memilih pemain terbaik lelaki dan pe­rempuan. Hanya 12 orang atlet lelaki dan pe­rempuan yang layak ke kejohanan itu.

“Kebanyakan pemain kita sebenarnya terdiri daripada pemain tonggak yang membantu kita merangkul kejuaraan dunia dua tahun berturut-turut, jadi potensi untuk mencapai kejayaan sama tahun ini adalah cerah,” katanya.

Dalam pada itu Gopal turut meramalkan bahawa skuad dodgeball wanita negara turut berpeluang membawa pulang gelaran juara dunia selepas sekadar menjadi naib johan tahun lalu.

Ini kerana berdasarkan rekod, pasukan dogeball wanita kebangsaan pernah menggondol gelaran juara dunia pada Kejohanan Dunia 2016 di Melbourne, Australia serta setahun selepas itu di Toronto, Kanada.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas