Berita

Inisiatif Wilayah Cakna sedia RM63.6 juta bantu rakyat terjejas Covid-19

ANNUAR pada sidang akhbar secara langsung melalui Facebook di Putrajaya hari ini. Foto NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 25 Mac 2020 8:39 AM MYT

PUTRAJAYA – Kabinet telah meluluskan Inisatif Wilayah Cakna yang dibentangkan Kementerian Wilayah Persekutuan melibatkan peruntukan sebanyak RM63.6 juta untuk membantu golongan miskin bandar, penjaja dan petugas barisan hadapan yang terkesan akibat wabak Covid-19.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Tpr. Annuar Musa berkata, inisitif tersebut dibentangkan bagi menguruskan impak penularan wabak tersebut dan pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) terhadap warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

“Wilayah Cakna adalah inisiatif hasil penyelarasan maklumat dan tindakan melalui Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri WP dan Pusat Pengurusan Krisis (CMC) yang saya pengerusikan.

“Ia bertujuan menyelaraskan pengagihan bantuan dalam bentuk makanan, barangan, pengecualian bayaran, tunai dan perkhidmatan kepada golongan miskin bandar, peniaga kecil dan penjaja, pekerja gaji harian, petugas kesihatan dan petugas penguatkuasaan PKP,” katanya dalam sidang akhbar secara langsung melalui laman Facebooknya hari ini.  Ia turut disiarkan melalui Facebook Kementerian Wilayah Persekutuan dan Wilayahku.

Hadir sama Timbalannya, Dato’ Sri Santhara dan Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Rosida Jaafar.

Annuar berkata, peruntukan tersebut melibatkan tiga kluster utama dengan sebahagian besarnya iaitu RM54.3 juta bagi membantu golongan miskin bandar, golongan B40, pelajar, gelandangan, peniaga kecil dan penjaja.

Beliau berkata, sebanyak RM5.9 juta diperuntukkan untuk membantu para petugas barisan hadapan yang terdiri daripada anggota perubatan dan penguatkuasaan PKP dengan melibatkan kira-kira 5,000 petugas.

Katanya, petugas melibatkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Perbadanan Labuan turut bakal menerima elaun tambahan RM200.

Ini katanya, melibatkan perbelanjaan makanan dan minuman melibatkan kos RM180,100 selain kewangan, Elaun Khas Petugas Perubatan dan Penguatkuasaan PKP (RM5.4 juta) serta peralatan tambahan (RM500,000).

Annuar berkata, bagi membantu kluster pesakit, pesakit di bawah pemantauan (PUI) dan mangsa Covid-19 pula, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM3.4 juta bagi tujuan sara hidup, khairat dan peralatan tambahan mesin bantuan pernafasan.

Bagi kluster wargo kota pula beliau mengumumkan, kerajaan memberikan pengecualian bayaran sewa kepada 40,000 penyewa Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) MTEN-DBKL yang bernilai RM4.96 juta, zakat khas sebanyak RM500 bagi setiap keluarga kepada 24,196 keluarga sebanyak RM12.1 juta.

Tambah beliau, bantuan one-off RM500 turut diberikan kepada peniaga kecil dan penjaja berjumlah RM11.8 juta.

“Keputusan meluluskan peruntukan yang besar ini membuktikan biarpun berhadapan dengan kedudukan ekonomi dan kewangan yang begitu mencabar, rakyat tetap menjadi keutamaan. “Kerajaan amat prihatin terhadap kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan miskin bandar dan petugas yang setiap hari menyabung nyawa membantu pesakit dan memerangi wabak Covid-19,” katanya.

Beliau berharap semoga semua rakyat Malaysia bersatu hati dalam perang terhadap Covid-19 dan mematuhi segala arahan PKP.

“Mudah-mudahan dengan kesatuan dan berkat usaha semua pihak, penularan wabak ini segera berakhir dan kita boleh segera bangkit memulihkan negara,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas