Berita

Angka kematian Covid-19 meningkat kepada 17 kes

ANGGOTA perubatan bertungkus-lumus memberikan rawatan kepada pesakit Covid-19 walaupun menyedari mereka turut berisiko terkena jangkitan wabak itu. Gambar hiasan Facebook KKM
- Diterbit 25 Mac 2020 8:52 AM MYT

KUALA LUMPUR – Seorang lagi pesakit positif Covid-19 meninggal dunia telah dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes kematian akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 17 orang setakat ini.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kes kematian ke-17 (kes ke-1251) merupakan seorang warganegara Malaysia berusia 66 tahun dengan latar belakang beberapa penyakit kronik.

Katanya lagi, pesakit mula menunjukkan gejala seminggu sebelum dimasukkan ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah, Muar, Johor pada 20 Mac lalu.

“Keadaan pesakit kritikal semasa tiba di Jabatan Kecemasan dan memerlukan bantuan pernafasan pada hari yang sama.

“Pesakit disahkan positif Covid-19 pada 21 Mac lalu dan kesihatannya merosot hari demi hari dan telah disahkan meninggal dunia pada 4.10 pagi tadi,” ujarnya dalam laman Facebooknya hari ini.

Noor Hisham memaklumkan, punca jangkitan Covid-19 pesakit itu masih dalam siasatan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas