Artikel

Industri Komunikasi dan Multimedia Malaysia kekal kompetitif di sebalik impak pandemik

|||
- Diterbit 3 Oktober 2022 4:35 AM MYT

TAN SRI ANNUAR MUSA 

LAPORAN Prestasi Industri (IPR) 2021 yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini mendapati sektor Komunikasi dan Multimedia (C&M) meliputi telekomunikasi, penyiaran serta pos dan kurier kekal kompetitif sepanjang 2021 meskipun masih berhadapan dengan impak pandemik COVID-19 ekoran kemunculan pelbagai varian baharu.

Secara keseluruhannya, permodalan pasaran industri C&M telah meningkat sebanyak 2.8 peratus kepada RM146.95 bilion pada tahun 2021 berbanding dengan RM142.96 bilion pada tahun 2020. Angka berkenaan menyumbang 8.2 peratus daripada jumlah permodalan pasaran Bursa Malaysia iaitu RM1,789.2 bilion pada 2021.

INDUSTRI Komunikasi & Multimedia Malaysia meningkat 2.8 peratus kepada RM146.95 bilion pada tahun 2021 berbanding RM142.96 pada tahun 2020.

Daripada aspek kewangan, hasil industri C&M memperlihatkan peningkatan sebanyak 3.7 peratus kepada RM48.25 bilion pada 2021 berbanding RM46.52 bilion pada tahun sebelumnya. Peningkatan ini dipacu oleh pembukaan semula ekonomi dan program rangsangan yang dilaksanakan oleh kerajaan.

Meskipun berhadapan dengan cabaran getir akibat pandemik COVID-19, sektor telekomunikasi negara berjaya menangkis impak pandemik, didorong oleh peningkatan permintaan untuk ketersambungan serta kebergantungan orang ramai dan perniagaan terhadap perkhidmatan komunikasi.

ANNUAR mendengar penerangan pelaksanaan rangkaian 5G yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Digital Nasional Berhad (DNB), Ralph Marshall pada 28 Jun 2022.

Melalui inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA), infrastruktur jalur lebar negara telah ditambah baik bagi menyediakan perkhidmatan di semua kawasan berpenduduk, sekali gus mendorong pelanggan untuk menikmati manfaat daripada perkhidmatan jalur lebar.

Sehubungan itu, permintaan yang lebih tinggi untuk kedua-dua perkhidmatan jalur lebar mudah alih dan tetap telah menyumbang kepada keseluruhan peningkatan langganan jalur lebar sebanyak 8.4 peratus kepada 45.75 juta pada 2021 berbanding 42.19 juta pada 2020.

Sementara itu, ketersediaan perkhidmatan penstriman terus memberi tekanan kepada sektor penyiaran negara justeru mengakibatkan penguncupan hasil sektor tersebut sebanyak 1.9 peratus kepada RM5.28 bilion berbanding dengan RM5.38 bilion pada 2020. Pada 2021, dua saluran baharu telah diperkenalkan di MyFreeView, iaitu TV6 oleh RTM dan TV Sarawak oleh Kumpulan Media Sarawak.

Sepanjang pandemik, sektor pos dan kurier terus beroperasi dalam suasana pasaran yang kompetitif meskipun terdapat lonjakan dalam permintaan e-dagang dan jumlah bungkusan. Hasil sektor pos dan kurier negara susut sebanyak 4.7 peratus kepada RM2.66 bilion berbanding dengan RM2.79 bilion pada tahun sebelumnya. Pada 2021, penghantaran bungkusan per kapita Malaysia mencecah 23.5, iaitu peningkatan daripada 14.1 bungkusan yang dicatatkan pada 2020.

ANNUAR melihat ‘Showcase 5G Multi-Operator Core Network (MOCN) Integration 5G Radio Access Network (RAN) Site’ di Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Sektor e-dagang turut menyaksikan kadar pertumbuhan yang memberangsangkan. Bagi tahun 2021, jumlah perbelanjaan keseluruhan untuk e-dagang meningkat sebanyak 10.7 peratus kepada RM28.5 bilion berbanding RM25.7 bilion pada 2020. Jumlah transaksi e-pembayaran terus mencatatkan pertumbuhan dua digit iaitu sebanyak 30 peratus kepada 7.2 bilion transaksi pada 2021.

Melangkah ke tahun 2022, kadar penggunaan teknologi digital dijangka kekal tinggi dan beralih kepada penggunaan teknologi seperti Kecerdasan Buatan (Artificial Intelligence), Secure Access Service Edge (SASE), multicloud dan pengkomputeran pinggir (Edge Computing). Tumpuan akan turut terarah kepada kolaborasi industri bagi memanfaatkan kemunculan teknologi baharu.

PENULIS merupakan Menteri Komunikasi dan Multimedia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas