Artikel

Kediaman lebih selesa penghuni PPR, PA

PIHAK DBKL mengambil langkah positif melalui pelaksanaan Program Pembaharuan Semula Bandar (PPSB) untuk menambah baik PPR dan PA agar lebih luas dan selesa didiami.
- Diterbit 25 September 2022 4:03 AM MYT

SEMUA orang memerlukan tempat tinggal untuk berlindung daripada panas dan hujan sebagai keperluan asas kehidupan, selain makanan dan pakaian. Tetapi bukan semua berpeluang memiliki rumah.

Yang ada rezeki memiliki rumah pula, kemampuan pemilikan tidak sama antara satu sama lain. Ada yang mampu membeli rumah harga rendah, harga sederhana dan harga tinggi. Semua bergantung kepada sumber pendapatan masing-masing.

Dengan kos kehidupan yang tinggi di Kuala Lumpur, harga rumah juga meningkat sehingga mencapai ratusan ribu. Tentunya ini di luar kemampuan mereka yang berpendapatan sederhana, baik untuk rumah di atas tanah atau kondominium.

Dengan tanah yang semakin berkurangan di ibu negara ekoran pelbagai pembangunan, trend masa kini ialah membina kondominium di pelbagai tempat. Selalunya harganya tinggi di luar jangkauan kebanyakan warga kota. Rumah atas tanah lagilah mahal.

Kerana itu bagi sebahagian besar warga kota, mereka banyak bergantung kepada rumah yang dibina oleh kerajaan melalui Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merangkumi Projek Perumahan Rakyat (PPR) atau Perumahan Awam (PA). Rumah ini dalam kemampuan mereka untuk membeli atau menyewa dengan harga berpatutan.

Namun Adi ingin menyentuh mengenai PPR atau PA yang dibina beberapa dekad lalu, ada yang berusia hingga lebih 30 tahun. Rumah lama ini dirasakan sudah tidak sesuai kerana keluasan dan persekitaran yang dianggap sudah tidak selesa untuk penghuni dalam arus pembangunan ibu negara yang pesat.

Adi faham tinggal dalam sebuah rumah yang agak sempit dengan satu atau dua bilik tidur serta satu bilik air memang kurang selesa. Ketidakselesaan ini lebih terasa jika keluarga terlibat adalah sebuah keluarga besar, mempunyai ramai anak lelaki dan perempuan.

Jika rumah itu mempunyai dua bilik, satu untuk ayah ibu, tinggal satu bilik untuk dikongsi oleh anak-anak. Masalah privasi timbul kerana anak-anak terpaksa berkongsi bilik. Ini tentu menyukarkan terutama bagi anak-anak yang sudah dewasa atau meningkat remaja.

Lagipun masakan anak lelaki dan perempuan hendak berkongsi bilik. Biasanya anak perempuan diberi keutamaan tinggal dalam bilik, berkongsi jika ramai. Yang lelaki boleh simpan barang dalam bilik tetapi tidur boleh di luar, misalnya ruang tamu. Namun tentu segan juga untuk sering keluar masuk ke dalam bilik yang didiami adik-beradik perempuan.

Adi tidak bermaksud untuk mempertikai suasana tinggal dalam PPR atau PA. Cuma apa yang Adi nyatakan adalah untuk menggambarkan inilah realiti rumah lama PPR atau PA yang dibina beberapa dekad dahulu dan masih berdiri sehingga kini. Fakta ini disedari oleh DBKL sendiri.

Pembinaan PPR atau PA tersebut mungkin dianggap bersesuaian dengan keperluan pada masa itu tetapi bukan masa kini. Jumlah luas keseluruhan setiap unit hanya 450 kaki persegi, dengan satu atau dua bilik dan satu bilik air memang tidak kondusif bagi yang mempunyai ramai anak.

Atas kesedaran ini, pihak DBKL mengambil langkah positif memperbaiki keadaan ini melalui pelaksanaan Program Pembaharuan Semula Bandar (PPSB) atau Urban Renewal. Matlamatnya untuk menambah baik PPR dan PA agar lebih luas dan selesa didiami.

Bagi Adi ini suatu usaha murni untuk membela penghuni PPR dan PA. Adi difahamkan, 30 kawasan PPR dan PA di seluruh Kuala Lumpur sudah dikenal pasti untuk program pembaharuan semula tersebut.

Memetik Menteri Wilayah Persekutuan (WP), Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, sesi libat urus atau engagement session dengan penduduk terlibat di separuh kawasan sasaran telah selesai dilaksanakan. Hasilnya bakal dibentangkan kepada orang ramai untuk mendapatkan maklum balas.

Semua maklumat maklum balas yang diterima akan dijadikan garis panduan merumus pelan tindakan memperbaiki PPR dan PA di kawasan terlibat, memperbaiki kemudahan dan keselesaan serta menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penghuni selama ini.

Menurut Shahidan, sejajar dengan pembangunan semula ini bakal menyaksikan keluasan rumah bertambah sehingga 800 kaki persegi, sekali ganda daripada keluasannya sekarang. Justeru lebih luas ruang untuk keluarga serta mampu meningkatkan kualiti kehidupan penghuni.

Selain itu bilik juga ditambah menjadi tiga, sejajar dengan ketetapan pembinaan PPR atau PA masa kini perlu mempunyai tiga bilik. Adi percaya proses, pembesaran dan menambah baik kemudahan akan turut menaik taraf kediaman.

Ia juga bermakna, urban renewal ini akan melibatkan pembangunan semula. Bangunan yang ada diroboh dan perumahan baharu didirikan di atas tapak berkenaan. Adi difahamkan penempatan sementara disediakan sementara pembinaan siap, kemungkinannya berhampiran kawasan rumah tersebut. Oleh itu penghuni tidak perlu berpindah ke tempat lain.

Perlu diingat ada di antara unit kediaman itu sudah menjadi milik persendirian setelah dijual oleh DBKL kepada individu. Selain itu terdapat juga unit yang disewa dan masih milik DBKL. Kerana situasi ini, pembaharuan semula dijangka memakan masa untuk dilaksanakan sepenuhnya.

Bagaimanapun Shahidan memberi jaminan, jika projek ini melibatkan pengambilan tanah, penghuni yang mendiami unit milik DBKL akan diberi pampasan sama rata dengan yang bakal diterima oleh pemilik persendirian.

Bagi Adi, sekalipun program pembaharuan ini mengambil masa, usaha DBKL ini adalah langkah permulaan yang sangat menggalakkan. Ini menunjukkan keprihatinan DBKL untuk memastikan kehidupan penghuni berubah ke arah lebih baik dan selesa, sesuai dengan peredaran masa serta keperluan untuk perumahan yang lebih memenuhi cita rasa.

Pembangunan semula ini adalah sejajar dengan matlamat membangunkan semula kawasankawasan perumahan lama seperti yang terkandung dalam Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040. Ia juga bakal menyerlahkan bandar raya menjadi lebih kemas dan tersusun dengan cara membaharukan bangunan lama, termasuk PPR dan PA yang sudah dimamah usia.

Secara tidak langsung usaha ini akan mempamerkan kepada masyarakat luar betapa kerajaan begitu komited menyediakan kawasan perumahan yang terbaik untuk warga kota, melalui bangunan moden dan persekitaran lebih menarik.

Selain kediaman lebih selesa, pembangunan semula juga bakal meningkatkan taraf hidup penduduk terlibat, juga menambah nilai hartanah di samping mewujudkan suasana kehidupan dan persekitaran yang lebih harmoni untuk pembangunan generasi akan datang.

Adi berharap para penghuni PPR dan PA yang terlibat dengan pembangunan semula akan memberi respons positif untuk membolehkan program tersebut dilaksanakan segera. Dengan itu para penghuni akan segera memperoleh kediaman baharu dengan suasana kehidupan yang lebih menyeronokkan.

Adi—Syukur ada rumah – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas