Selebriti

Impian Hael Husaini belum tertunai

- Diterbit 5 Januari 2024 12:30 PM MYT

PENYANYI popular Hael Husaini meluahkan hasrat untuk bekerjasama dengan penyanyi duo legenda yang juga adik-beradik iaitu Azlina Aziz dan Liza Aziz.

Bagi Hael atau nama sebenarnya, Hael Husaini Razmi, 36, satu penghargaan buat dirinya jika diberi peluang untuk bekerjasama dengan penyanyi duo itu.

Saya bercita-cita tinggi untuk berkerjasama dengan pasangan duo lagenda kita iaitu Azlina dan Liza Aziz. Saya harap suatu hari nanti akan jadi kenyataan. Inilah antara impian saya.

“Sama ada berduet atau mencipta lagu untuk mereka, belum tentu lagi. Janji dapat berkolaborasi. Iyalah, siapa tak bangga kalau dapat menjayakan lagu dengan penyanyi yang kita tahu masih hebat hingga ke hari ini.

“Pengalaman bekerjasama itulah yang mahal. Rasanya mereka menjadi inspirasi ramai penyanyi-penyanyi masa kini. Insya-Allah, ada perancangan ke arah itu nanti,” katanya.

Sebelum ini Hael pernah bekerjasama dengan beberapa penyanyi hebat termasuk Datuk Seri Siti Nurhaliza, Dayang Nurfaizah, Nabila Razali dan ramai lagi.

Sementara itu, satu berita baik buat para peminat apabila penyanyi ini bakal muncul dengan album berjudul ANTONIM Part 1 yang dilancarkan pada 5 Januari.

“Sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, saya telah menghasilkan lebih kurang 20 buah lagu (demo) untuk album pertama ini dan setelah berbincang dengan pihak label serta pasukan, hanya 10 buah lagu sahaja telah disenarai pendek selain beberapa buah lagu lama yang diberi susunan khas semula.

“Dalam album ANTONIM (Part I) terkandung lagu-lagu seperti Diam, Usia, Kejora, Please, Hero dan Sama Seperti Dulu (versi orkestra).

“Sebanyak empat buah lagu daripada album ini dipilih kerana menjadi lagu tema bagi sebuah drama bersiri popular yang mula ditayangkan baru-baru ini selain dua buah lagu lagi yang belum pernah diperdengarkan kepada umum,” katanya.

Baginya, album tersebut amat penting sempena 17 tahun dirinya dalam industri sekali gus ia merupakan impian terbesar dalam karier seninya.

“Banyak sangat cabaran serta kisah duka yang saya dan pasukan tempuhi. ANTONIM (PART I & II) saya jadikan medan untuk berkarya tetapi konsepnya berlawanan dengan apa yang sering saya hidangkan buat pendengar sebelum ini, namun keseluruhan lagu masih berkonsepkan pop yang bernuansakan balada serta rock,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, penyanyi ini sudah muncul dengan lagu Diam pada 22 Disember 2023 yang lalu di mana lagu tersebut begitu dekat dengan masyarakat.

“Ia sangat dekat dengan persekitaran kita, menghimpunkan satu luahan kekecewaan terhadap seseorang yang mengkhianati kita, orang yang berpura-pura suka terhadap kewujudan kita tetapi sedang berusaha untuk menjatuhkan kita dan ingin melihat hidup kita musnah,” tambahnya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas