Berita

Ulama, pemimpin Islam perlu kerjasama capai perpaduan ummah

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 Mei 2024 3:30 PM MYT

ULAMA, pemimpin dan saintis Islam perlu bekerjasama untuk mencapai matlamat perpaduan ummah dan menyelesaikan sebarang konflik yang timbul dalam masyarakat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Ketika berucap pada Majlis Ulama Asia 2024 di sini hari ini, beliau berkata dalam menjadikan misi perpaduan ummah satu kejayaan, golongan berkenaan perlu memberikan teladan dengan menunjukkan perpaduan dalam kalangan mereka terlebih dahulu.

“Justeru, penganjuran Majlis Ulama Asia 2024 ialah sebahagian daripada usaha untuk membawa perpaduan dalam kalangan ulama, pemimpin dan cendekiawan Islam, seterusnya menyatakannya kepada Muslim bahawa ia dapat disesuaikan dalam kehidupan masyarakat,” katanya.

Mohd Na’im berkata umat Islam perlu dimaklumkan bahawa usaha untuk merealisasikan perpaduan ini perlu menembusi tembok pelbagai aliran pemikiran dan ideologi dengan matlamat mencapai kebajikan ummah dan menolak ekstremis dan fahaman ekstrem.

Beliau berkata perbezaan seharusnya dijadikan sebagai kelebihan berbanding kelemahan, manakala sebarang persamaan harus digunakan sebagai sumber kekuatan.

“Ternyata, kegemilangan umat Islam  dan jatuh bangun sesebuah komuniti, bangsa atau negara terletak pada perpaduan,” katanya.

Mohd Na’im berharap Majlis Ulama Asia 2024 yang menghimpunkan 200 ulama Islam dari seluruh Asia, dapat membuka skop kerjasama lebih luas, kesepakatan dan persefahaman lebih baik dalam kalangan ulama, pemimpin dan saintis Muslim pada masa depan.

Beliau berkata kesepakatan dalam kalangan ulama, pemimpin dan saintis Islam dalam menangani tindakan ekstrem dan menolak apa-apa bentuk ideologi yang bertentangan dengan ajaran Islam, akan membantu memupuk perpaduan dalam masyarakat.

“Majlis ini diharapkan dapat mencapai objektif yang digariskan, sekali gus menjadi asas kepada kehidupan harmoni, persefahaman, semangat kerjasama dan nilai wasatiyyah serta perpaduan yang lebih kukuh dalam kalangan komuniti Muslim.

“Ia akan menjadi asas perpaduan komuniti berbilang agama dan bangsa seiring dengan idea MADANI yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.

Acara itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan kehadiran Setiausaha Agung Liga Dunia Muslim (MWL) dan Pengerusi Pertubuhan Ulama Islam Sheikh Dr Mohammed Abdulkarim Al-Issa.

Ia dianjurkan oleh Pejabat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama MWL. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas