Selebriti

Syafiq Farhain rela dikecam tapi….

- Diterbit 5 Januari 2024 12:20 PM MYT

PENYANYI Syafiq Farhain yang juga anak kepada vokalis kumpulan Iklim iaitu Allahyarham Saleem, berharap netizen atau peminat lebih berhati-hati dalam mengeluarkan komen apabila lagunya bersama kumpulan legenda itu siap.

Menurut Syafiq atau nama sebenarnya Nursyafiq Farhain AM Salim, 29, dia sebagai generasi muda sudah biasa dengan kecaman warganet, namun kumpulan otai Iklim harus dihormati.

“Insya-Allah, tak lama lagi saya akan muncul dengan dua buah lagu baharu bersama kumpulan Iklim. Sekarang ini, susunan muzik sudah siap, tunggu lagi nak masuk studio untuk rakaman lagu sahaja.

“Apabila pihak Iklim dan pengurusannya memberi green light, saya bersedia memberikan komitmen yang terbaik. Bukan senang nak berkolaborasi dengan otai-otai ini.

“Saya cukup menghormati mereka, apatah­ lagi merekalah yang ada bersama-sama arwah ayah, berjuang sebagai anak seni. Pelbagai dugaan dan rintangan yang mereka lalui bersama.

“Cuma saya harap, apabila lagu kami keluar nanti, jangan ada komen yang bukan-bukan pendek kata sehingga boleh mengguris hati mereka.

“Kalau nak kritik atau kecam saya, saya tak kisah kerana sebagai generasi muda yang dibesarkan dalam zaman media sosial ini, saya sudah biasa dengan kritikan. Paling tidak pun, saya hanya berdiam diri dan biarkan sahaja komen-komen negatif.

“Namun, saya harap jagalah hati otai-otai dalam Iklim. Mereka adalah legenda yang terlebih dahulu memperjuangkan muzik dan sangat disegani. Jadi, saya harap sangat, tidak ada komen-komen yang tidak sepatutnya dilemparkan kepada mereka,” katanya.

Baru-baru ini penyanyi ini memberitahu bahawa dia rasa bertuah dapat berkolaborasi dengan Iklim untuk sebuah projek khas.

Namun, dia tidak dapat memberikan komitmen sebagai vokalis tetap kerana mempunyai komitmen yang lain.

“Walaupun hanya projek khas. Kolaborasi ini amat bermakna bagi saya. Iyalah, vokalis asal ayah saya. Sudah tentu ini satu peluang yang tidak mungkin dilepaskan.

“Tidak dinafikan, sebenarnya sudah tiga bulan Iklim melamar saya untuk merakamkan lagu,­ tapi atas sebab-sebab tertentu baru sekarang boleh dilaksanakan.

“Saya tak nak bekerjasama dengan Iklim dalam keadaan saya mempunyai komitmen lain. Iklim nama besar, saya tak mahu jejaskan nama mereka,” jelasnya lagi.

Dalam masa yang sama, dia juga tidak kisah jika ada peminat atau netizen membanding-bandingkan dirinya dengan arwah ayahnya apabila lagu tersebut dilancarkan kelak.

“Kalau orang buat perbandingan, itu perkara biasa. Tak boleh nak elak. Mana-mana penyanyi yang menggantikan vokalis asal pun, pasti akan dibanding-bandingkan.

“Saya sedia untuk terima kritikan. Semoga ia boleh membuat saya menjadi penyanyi yang lebih baik untuk masa akan datang. Sejujurnya perbandingan tu saya tak risau sangat sebenarnya. Apa yang saya bimbang adalah jika saya tidak dapat tepati apa yang Iklim mahukan.

“Walau bagaimanapun, insya-Allah saya cuba yang terbaik dan penuhi apa yang mereka mahukan,” ujarnya.

Dalam masa yang sama, Syafiq juga memberitahu, kolaborasi ini pasti memberi kenangan manis buat dirinya kerana sebelum ini hasratnya mahu berduet dengan arwah ayah tidak kesampaian.

“Allah lebih menyayanginya. Walaupun tak sempat berduet dengan ayah, kolaborasi dengan Iklim sebenarnya juga satu peluang emas buat saya. Ia juga kenangan terindah,” tambahnya.

Menyentuh tentang kerjayanya, dia mula menyanyi secara serius pada 2016 dan merupakan naib juara Program Big Stage musim pertama pada 2018.

Antara lagu popular Syafiq adalah Sayang Maafkan Aku, Kamar Hati, Kau Bidadari, Pakat Maghi Ganu dan Demi Setia.

BERUBAH KERANA NUR ESHAL ZAHRA

Syafiq akui banyak perubahan pada dirinya sejak bergelar ayah kepada anak perempuannya, Nur Eshal Zahra yang kini sudah pun berusia tujuh bulan.

“Kalau nak cakap perubahan dari segi perangai atau sikap tu, saya tak boleh nak komen. Hanya orang terdekat sahaja yang boleh menilainya.

“Cuma apa yang saya perasan, perubahan yang banyak berlaku adalah dari segi masa. Kalau dulu banyak masa di luar rumah atau lepak dengan kawan-kawan tapi­ sekarang saya banyak­ menghabiskan masa di rumah.

“Kalau dulu duduk rumah pun, saya akan banyak praktis menyanyi kerana ketika itu suara baru nak menjadi. Memang saya­ ‘melalak’ sampai pukul tiga pagi berlatih menyanyi.

“Tapi sekarang, banyak masa di rumah layan anak. Latihan menyanyi pun banyak dekat studio. Kalau di rumah, isteri tegur nanti ganggu anak katanya,” ceritanya sambil berseloroh.

Syafiq juga turut memberitahu dia kini sudah berpindah ke sebuah kediaman atas tanah yang lebih selesa sesuai dengan statusnya yang sudah pun hidup berkeluarga.

Untuk rekod, Syafiq dan isterinya, Alia Nadia berkahwin pada 10 Oktober 2021. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas