Selebriti

Hargailah selagi bernyawa

- Diterbit 5 Januari 2024 12:40 PM MYT

SEPERTI tahun-tahun yang lain, 2023 juga menyaksikan ramai selebriti pergi menghadap Ilahi. Mereka ni merupakan orang yang pernah mewarnai dunia seni dan hiburan Malaysia sehingga menjadi sebutan peminat suatu ketika dahulu. Pemergian legenda ini sangat memberi kesan kepada penyanyi dan penyampai radio, Haiza.

Menurut Haiza pemergian mereka menyedarkannya kematian itu boleh berlaku pada bila-bila masa.

“Ramai kawan dalam industri seni yang saya kenal dan rapat, pergi meninggalkan kita semua buat selama-lamanya. Paling terkesan bagi saya adalah pemergian Rohana Jalil, Ibnor Riza dan Datuk M Daud Kilau. Insan-insan ini pernah berkongsi pentas dengan saya. Terlalu banyak pengalaman bersama mereka yang saya tak boleh lupakan. Hanya Allah yang mampu ­­­membalas-Nya.

“Umur muda atau tua, itu bukan pengukur kita hidup lama atau singkat. Jangan ingat muda pasti hidup lama dan tua itu hampir dengan kematian. Apa yang penting, sebagai persiapan diri, sentiasalah ingat mati,” katanya.

Pelantun lagu Dag Dig Dug dan Ah Rindu Lagi ini juga berharap sesiapa sahaja menghargai keluarga atau orang tersayang selagi nyawa masih dikandung badan.

“Hargailah insan-insan di sekeliling kita. Simpan kenangan bersama mereka. Sayangilah dan jagalah hati orang di sekeliling. Terasa hati sikit-sikit itu adalah lumrah. Tak ada manusia yang sempurna dalam dunia ini.

“Kalau dapat luangkan masa bersama yang tersayang terutamanya ibu bapa dan adik-beradik, itu yang terbaik sebenarnya. Mungkin masing-masing sibuk, tapi carilah masa untuk mereka,” pesan Haiza.

Sempena tahun baharu 2024 ini, Haiza akui setiap tahun dia mengharapkan perkara yang sama untuk dirinya dan keluarga.

“Apa yang wajib adalah sentiasa memohon kepada Allah untuk diberikan kesihatan yang baik, dijauhi penyakit-penyakit yang menakutkan atau bahaya. Dalam masa yang sama, sentiasa memohon kepada-Nya agar rezeki seperti air sungai yang mengalir, rezeki yang berkat. Itulah kebaikan dalam hidup yang saya selalu mahukan.

“Alhamdulillah, saya dikurniakan suami yang baik dan sentiasa ada ketika susah dan senang. Anak pun dah semakin besar. Saya selalu minta dengan Allah jaga dan sempurnakan budi pekerti dia.
“Dalam kerjaya pula, saya mengharapkan tahun 2024 ini tertunai impian saya nak buat album baharu. Konsep apa, akan diumumkan kemudian. selain kerjaya sebagai penyampai radio juga berkembang di Kool 101,” tambahnya lagi.

Sebagai rekod, Haiza berkahwin dengan Norhanaphe Omar, 43, dan dikurniakan seorang anak lelaki Nur Iman Syafie, 11. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas