Atlet Wilayah

Impi bergelar pemain hoki profesional, Amirah tekad cipta sejarah terulung

AKSI Amirah (kiri) ketika Kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022
- Diterbit 8 Disember 2023 2:20 AM MYT

ATLET hoki Wilayah Persekutuan, Nur Amirah Jasmi Apindi, 24, mengakui sokongan yang diberikan oleh jurulatih pasukan, Ikmal Abdul Jabar menguatkan semangatnya untuk terus giat menjalani latihan.

“Sepanjang lebih 15 tahun bergelar atlet hoki, saya berdepan dengan banyak cabaran daripada segi fizikal dan mental namun apa yang membuatkan saya bangkit adalah dorongan daripada jurulatih.

“Dia banyak membantu pasukan dengan caranya yang tersendiri, kejayaan yang diperoleh sebelum ini bertitik tolak daripada kekuatan, sokongan dan tunjuk ajar beliau,” ujarnya kepada Wilayahku.

Kongsinya, setiap kali berlatih, jurulatih akan memastikan semua posisi pemain berada dalam keadaan yang tepat untuk melihat kelemahan dan kelebihan setiap pemain.

“Sebagai pemain, saya sangat menyokong cara latihan tersebut kerana langkah itu dapat membantu menyusun pemain di setiap posisi dengan tepat mengikut kehebatan masing-masing.

“Saya yakin melalui tunjuk ajar tersebut, suatu hari nanti saya mampu mencipta sejarah bersama pasukan di pentas arena antarabangsa,” ujarnya yang menjadikan pemain hoki wanita negara, Raja Sharina Raja Shabuddin sebagai idola kerana ketangkasannya ketika beraksi.

Berkongsi pandangan terhadap sukan hoki, anak kelahiran Kuala Lumpur ini berkata ia boleh dijadikan sebagai kerjaya tetap seperti mana atlet profesional dalam sukan tersebut.

“Kalau kita lihat, banyak pemain hoki atau pelapis muda yang bagus zaman sekarang, jadi kalau ada pelapis yang berpotensi eloklah digilap dengan sebaiknya,” ujar atlet hoki yang mula aktif sejak umur sembilan tahun ini.

Bakal beraksi dalam TNB Liga Hoki Wanita yang dijangka berlangsung pada tahun hadapan, dia kini giat menjalani latihan bersama skuad Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Doakan yang terbaik untuk kami. Saya berharap pasukan cemerlang dan mampu bersaing dengan pasukan hebat lain di pentas arena yang lebih besar pada masa akan datang,” ujar pelajar jurusan Ijazah Pengurusan Sukan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas