Berita

Nasib golongan asnaf terbela

MOHD NIZAM (tengah) menyampaikan replika kunci rumah kepada Peter
- Diterbit 8 Disember 2023 2:00 AM MYT

BAGI memastikan nasib golongan asnaf di Labuan sentiasa terbela, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus menyalurkan pelbagai bantuan kepada empat buah keluarga membabitkan jumlah bantuan keseluruhan RM187,850.

Menurut Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Mohd Yahya, antara bantuan yang disalurkan ialah skim bantuan kelengkapan nelayan, skim bantuan bina rumah dan skim bantuan peralatan.

“Untuk skim bantuan nelayan, MAIWP telah menyerahkan sebuah bot beserta enjin kepada Said Ag. Burut, 63. Bantuan tersebut susulan pada tahun 2021, dia terputus punca pendapatan akibat
kebakaran yang memusnahkan bot dan enjin.

“Sehubungan itu, MAIWP menyalurkan bantuan sebuah bot fiberglass bersaiz 17 kaki bernilai RM9,500 dan sebuah enjin Tohatsu Outboard Engine 15HP bernilai RM6,350.

“Selain itu, kita turut menyerahkan dua buah rumah bantuan bernilai RM79,000 setiap sebuah kepada dua keluarga asnaf di Kampung Pohon Batu dan Sungai Keling,” ujar beliau.

Sementara itu, bagi skim bantuan alat kelengkapan kesihatan, MAIWP telah menyalurkan bantuan kepada Amzzad Anak berusia 25 tahun yang menghidap Left Frontoparietal Arteriovenous Malformation yang berpunca daripada pendarahan otak (pembuluh darah pecah) yang menyebabkan lumpuh separuh badan.

Turut hadir Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad.

Sementara itu, penerima bantuan skim perumahan, Peter Chan Abdullah, 41, menzahirkan kesyukuran dan penghargaan kepada pihak MAIWP yang membantunya mendapatkan kediaman sendiri.

“Terima kasih MAIWP dan pembayar zakat. Bantuan rumah ini amat bermakna kepada kami sekeluarga. Sebelum ini, kami hanya mampu menyewa rumah sahaja,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas