Berita

Ikon Remaja berjaya bentuk sahsiah

KHALID (tengah) bersama peserta Program Ikon Remaja 2019 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2019 4:51 AM MYT

KUALA LUMPUR – Program Ikon Remaja yang dianjurkan oleh Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) telah berjaya membentuk sahsiah remaja ke arah yang lebih baik melalui penganjuran Liga Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2019 baru-baru ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Mulia, Bandar Tun Razak, Cheras, Mohd. Shahrul Aikal Mohd. Nasir, 17, yang memenangi Anugerah Pemain Paling Bernilai pada kejohanan sulung itu berkata, banyak manfaat yang diperoleh daripada penganjuran program tersebut.

“Program ini tidak terhad kepada perlawanan bola sepak semata-mata malah kami diajar mengenai keterampilan diri supaya mempunyai sahsiah yang terpuji,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Rakannya, Tuan Mohd. Shafiq Tuan Razwan, 16, yang memenangi Anugerah Penjaring Terbanyak kejohanan itu juga menyifatkan program berkenaan banyak membantunya untuk melakukan sesuatu perkara dengan bersungguh-sungguh.

Dalam perlawanan akhir Liga Piala Menteri Wilayah Persekutuan 2019, SMK Seri Mulia muncul juara setelah meledakkan empat gol hasil jaringan Tuan Mohd. Shafiq sekali gus menumpaskan pasukan SMK Batu Muda yang hanya membalas dengan dua gol.

Terdahulu Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, program Ikon Remaja yang memberikan fokus kepada sukan bola sepak memberikan peluang kepada kira-kira 2,000 pelajar dari 76 buah sekolah dari seluruh Kuala Lumpur menonjolkan bakat mereka.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas