Berita

Khidmat guaman Gopal Sri Ram secara pro bono

PEMANDANGAN Rumah Panjang Bukit Kiara dari udara.
PEMANDANGAN Rumah Panjang Bukit Kiara dari udara.
- Diterbit 2 Disember 2019 4:49 AM MYT

PUTRAJAYA – Kementerian Wilayah Persekutuan menafikan dakwaan bahawa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membayar kos guaman yang tinggi bagi mendapatkan khidmat Datuk Seri Gopal Sri Ram dalam kes Taman Rimba Kiara, Kuala Lumpur.

Pejabat Menteri Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan menjelaskan, dakwaan tersebut adalah palsu dan tidak berasas kerana Gopal telah menawarkan khidmat guaman secara pro bono kepada DBKL.

“Sukacita dijelaskan bahawa beliau (Gopal) menawarkan khidmat secara pro bono (percuma) kepada DBKL dalam kes ini. Apabila tawaran ini dirujuk kepada syarikat guaman yang mewakili DBKL dalam kes ini, mereka bersetuju untuk menerima tawaran tersebut,’’ kata kenyataan tersebut baru-baru ini.

Kenyataan itu mengulas laporan sebuah portal berita yang melaporkan rasa tidak puas hati penduduk Taman Tun Dr. Ismail (TTDI) yang mendakwa khidmat bekas hakim itu berkemungkinan melibatkan kos guaman yang tinggi daripada wang pembayar cukai.

Kes Taman Rimba Kiara menyaksikan penduduk di kawasan TTDI membantah projek pembangunan berhampiran kawasan hijau tersebut yang merupakan sebahagian daripada kerjasama antara Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan sebuah syarikat pemaju.

Laporan sebelum ini menyebut kerajaan menolak membatalkan arahan pembangunan projek itu bagi mengelakkan bayaran pampasan sehingga RM150 juta.

Isu tersebut turut dibawa kepada perhatian Kabinet. Atas dasar kompromi, Kementerian Wilayah Persekutuan dan YWP serta pihak pemaju telah bersetuju mengecilkan skala pembangunan 12 ekar (4.9 hektar) kepada lapan ekar (3.2 hektar) dengan baki empat ekar bakal dipulangkan serta diwarta­kan sebagai kawasan lapang. Pembinaan lapan blok kondominium juga akan dikurangkan kepada empat blok.

Projek tersebut langsung tidak menceroboh kawasan Taman Rimba Kia­ra yang berhampiran projek berkenaan manakala Taman Persekutuan Bukit Kiara seluas 162 hektar kekal sebagai sebagai kawasan hijau di tengah ibu kota.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas