Artikel

Karnival Kitar Semula didik pelajar

AMINUDDIN (empat dari kanan, belakang) bergambar bersama pelajar SM Sultan Alam Shah selepas majlis penyampaian hadiah sempena Karnival Kitar Semula dan COMBI Sekolah 2019 baru-baru ini.
- Diterbit 2 Disember 2019 4:56 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]
Foto FARIS AZMI (PPj)

PUTRAJAYA – Usaha sekumpulan pelajar Sekolah Menengah Sultan Alam Shah, Putrajaya di dalam pertandingan Lakonan Terbaik Sekolah Menengah sem­pena Karnival Kitar Semula dan COMBI Sekolah Putrajaya 2019 membuahkan hasil apabila menjuarai kategori itu.

Menurut guru pembim­bing, Mohamed Shaik Firdaus Mohamed Shaik Jamaludin, 25, persediaan dan latihan dilakukan kira-kira satu bulan bersama-sama dengan 12 orang pelajar tingkatan dua.

“Skrip ini dihasilkan sendiri, oleh kerana saya merupakan graduan perubatan yang sedang menunggu untuk penempatan, maka saya mendapat idea untuk menghasilkan skrip yang memaparkan sisi penting apabila seseorang diserang demam denggi sedang menerima rawatan di hospital.

“Perkara utama dalam babak permulaan adalah seorang pesakit dalam keadaan tenat sedang menerima rawatan,” katanya kepada Wilayahku ­baru-baru ini.

Kata Mohamed Shaik Firdaus, kebiasaannya apabila orang bercakap mengenai demam denggi, mereka hanya menyebut tentang kepentingan menjaga kebersihan dan alam sekitar sahaja.

“Sisi lain yang disentuh adalah mengenai tanda-tanda awal jangkitan penyakit itu seperti bintik merah, demam dan lemah sendi.

“Melalui skrip yang di olah, saya berharap ia akan memberi lebih kesedaran kepada masyarakat mengenai penyakit ini dan sentiasa menitikberat­kan kebersihan alam sekitar,” katanya.

Dalam karnival itu, sekolah tersebut memenangi hadiah wang tunai RM1,500 dan Sijil Penghargaan.

Terdahulu, Presiden Perba­danan Putrajaya (PPj) Datuk Dr. Aminuddin Hasim berkata, sebanyak 729 kes demam denggi telah dicatatkan pada separuh penggal 2019.

“Peningkatan mendadak ini amat membimbangkan kerana jika dibandingkan dengan tempoh yang sama pada tahun 2018 sebanyak 115 kes dicatatkan.

“Ekoran terdapat peningkatan yang mendadak, pihak PPj telah mengadakan program ‘engagement’ di surau-surau seluruh Putarajaya setiap tahun,” katanya dalam ucapan perasmian.

Hadir sama, Naib Presiden Jabatan Perkhidmatan Bandar PPj, Datuk Azizi Ahmad Termizi, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Pejabat Kesihatan Putrajaya, Dr. Zainal Abidin Abu Bakar, Pengarah Pendidikan Putrajaya, Farizah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd. Datuk Mohd Zain Hassan.

Tegasnya , pihaknya mengharapkan semua komuniti melalui surau-surau, ketua-ke­tua penduduk dan anggota masyarakat yang lain untuk maklumkan kepada penduduk supaya mengekalkan kebersihan.

“Melalui program itu, secara tidak langsung ia akan dapat mengelakkan penyakit demam denggi daripada merebak.

“Dan seterusnya, kita dapat menurunkan kes yang melibatkan denggi ini pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, karnival yang berlangsung selama dua hari menggabungkan aktiviti kitar semula dan COMBI Sekolah dalam satu acara seperti pa­meran, taklimat, pertandingan lakonan dan penyampaian anugerah.

Sebanyak empat kategori Anugerah Kitar Semula Putrajaya 2019 yang dipertanding iaitu kategori sekolah kebangsaan (SK) dan sekolah menengah kebangsaan (SMK), kategori apartmen, kategori jabatan dan agensi kerajaan serta anugerah khas.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas