Berita

IDZHAM Sebak Timang Anak Kedua, Tak Mahu Bezakan Kasih Sayang

|IDZHAM berjanji mahu jadi suami terbaik kepada Abilah dan tidak membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak mereka.
- Diterbit 22 November 2020 6:32 AM MYT

ISTERI pelakon Idzham Ismail,32,  selamat melahirkan anak kedua mereka iaitu bayi lelaki pada pukul 7.45 pagi tadi di sebuah hospital swasta di Kajang, Selangor.

Idzham meluahkan rasa syukur apabila isterinya, Siti Nur Abilah Shamsudin dan bayi berada dalam keadaan sihat.

“Alhamdulillah… kami dikurniakan anak lelaki. Nama dah ada, cuma saya akan beritahu nama anak apabila saya letak gambarnya di media sosial nanti. 

“Perasaan saya teruja seperti mana dapat anak pertama Inara. Cuma kali ini saya lebih relaks, tak kelam kabut dan tahu apa yang perlu dilakukan,” katanya kepada Wilayahku.

IDZHAM berjanji mahu jadi suami terbaik kepada Abilah dan tidak membeza-bezakan kasih sayang terhadap anak mereka.

Bagi Idzham, anak sulung mereka Nur Sofea Inara yang kini berusia tiga tahun banyak mengajarnya untuk menjadi ayah yang lebih baik.

“Pengalaman anak pertama lahir dulu banyak mengajar saya bagaimana mahu berurusan apabila isteri bersalin.

“Bila tengok anak kedua ni, teringat masa Inara lahir dulu. Nak nangis pun ada. Sebab masa Inara lahir dulu saya tak dapat pegang atau dukung kerana selama sebulan dia dalam inkubator. Sedih sangat masa tu.

“Syukur.. anak kali ini boleh dipegang sebaik sahaja dilahirkan. 

“Pendek kata, Inara banyak mengajar kami erti susah senang menjadi ibu bapa. Insya Allah, saya akan beri kasih sayang yang sama rata buat anak-anak,” ujarnya lagi.

Idzham Ismail yang popular dengan drama bersiri Juvana ini berkahwin dengan Siti Nur Abilah  pada Ogos 2016. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas