Berita

“Kena ‘Tebal’ Muka Demi kelangsungan Hidup” – RAUF

|PRODUK susu segar Farm Fresh yang dijual Rauf laris!|RAUF pernah jual motosikal kesayangan demi kelangsungan hidup.
- Diterbit 21 November 2020 11:26 PM MYT

Bagi penjual susu Abdul Rauf Awi, 52, tiada halangan buatnya untuk berniaga di tepi jalan kerana mencari rezeki halal itu menjadi keutamaan.

Rauf yang sebelum ini bekerja sebagai Eksekutif Grafik dan Visual di Utusan Melayu, mengambil keputusan berniaga kecil-kecilan selepas syarikat tersebut gulung tikar. 

“Saya baru beberapa minggu berniaga air susu di Bandar Permaisuri (Cheras) ini. 

“Tidak dinafikan isteri saya yang juga bekas kakitangan Utusan, agak malu pada mulanya kerana dia tidak biasa berniaga tepi jalan.

PRODUK susu segar Farm Fresh yang dijual Rauf laris!

“Iyalah, dulu pendapatan kami agak lumayan berbanding sekarabg. 

“Sehinggakan dia sorok muka dia apabila ternampak kawan-kawan di kawasan sana. Namun, lama-kelamaan, dia sudah boleh menerima situasi ini.

“Saya selalu mengingatkan isteri, mahu atau tidak, kita kena tebal muka demi rezeki halal. Lagi pun, dalam usia sekarang tiada pekerjaan yang sesuai.

” Apatah lagi, COVID-19 menyebabkan ramai kehilangan pekerjaan,” katanya yang pernah menjual motosikal berkuasa tinggi kesayangannya kerana mahu membayar hutang setelah syarikat Utusan Melayu menghentikan operasi.

RAUF pernah jual motosikal kesayangan demi kelangsungan hidup.

“Sedih itu memang sedih tapi apa boleh buat. Saya terpaksa jual motosikal tersebut demi melunaskan hutang dan mahu memenuhi keperluan keluarga.

“Biarlah hidup tidak senang seperti dulu, asalkan saya dapat membahagiakan isteri dan anak-anak. 

“Insya Allah, selagi kudrat dan tulang empat kerat saya masih kuat, saya akan terus berusaha demi kelangsungan hidup,” katanya lagi.

Sesiapa yang ingin membeli air susu Farm Fresh boleh ke gerai jualan Rauf di Bandar Tasik Permaisuri,Cheras, Kuala Lumpur, yang terletak di hadapan restoran Burger King dan kedai emas.

Anda juga boleh membuat tempahan sticker, aksesori dan nombor plat kenderaan serta aksesori. Boleh layari Facebook (Rauf Awi) dan Instagram (@raufawi).

Boleh juga beli melalui Shopee (http://Shopee.com.my/redbigbox6100) 

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas