Berita

ALIF SATAR Dijangkiti COVID-19, Kini Dikuarantin

|ALIF kini menjalani Proses kuarantin
- Diterbit 22 November 2020 10:12 AM MYT

PENYANYI, pelakon dan pengacara Alif Satar mengaku rasa terkejut apabila dirinya disahkan positif Covid-19 selepas melalui beberapa ujian saringan.

Alif yang turut membuat persembahan pada separuh akhir Muzik Muzik 35 (SFMM 35) di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral Shah Alam, pada Jumaat lalu berkata baru sahaja menerima keputusan tersebut.

“Dalam kesibukan saya menjalani penggambaran, saya sudah melakukan beberapa ujian saringan Covid-19. 

“Malangnya, keputusan terkini yang saya baharu saja terima hari ini menunjukkan saya didapati positif Covid-19 dan perkara ini amatlah mengejutkan serta mendukacitakan.

“Perkara pertama apabila saya dapat dapat tahu keputusan ini, adalah semestinya tahap keselamatan keluarga, isteri dan anak-anak saya, rakan-rakan di set penggambaran dan semestinya kontak rapat yang berjumpa dengan saya,” katanya menerusi Instagram.

Alif juga memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku dan berharap agar semuanya berada dalam keadaan sihat. 

“Saya telah memberi nama kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kontak rapat yang saya kenal pasti dalam tempoh 14 hari.

“Saya mohon maaf atas segala kesulitan ini dan saya mohon doa semua agar diberikan kesembuhan dan kekuatan untuk menempuhi dugaan Allah SWT. Saya juga doa agar semua terhindar daripada sebarang kemudaratan,” ujarnya lagi.

ALIF kini menjalani Proses kuarantin

Alif kini sedang menjalani proses kuarantin di sebuah pusat perubatan.

Jumaat lalu, Alif membuat persembahan  di SFMM 35 menerusi lagu I Want You To Love Me ciptaan Faizal Tahir, Ezra Kong, Romeo dan Mike Chan. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas