Artikel

Idea besar konsep Wilayah Prihatin

KERATAN muka depan Wilayahku Edisi 74 KERATAN muka depan Wilayahku Edisi 74
- Diterbit 4 September 2020 12:00 PM MYT

BUKAN sahaja tema sambutan Hari Kemerdekaan ke 63 mengguna pakai ungkapan ‘prihatin’ iaitu Malaysia Prihatin yang mentafsirkan semua peringkat rakyat bersama-sama dengan kerajaan bekerjasama dalam menangani pandemik COVID-19, tetapi menarik perhatian juga apabila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa melancarkan apa yang dilabel sebagai Konsep Wilayah Persekutuan (WP) Wilayah Prihatin.

Kritikalnya konsep ini, menurut Annuar, ialah ianya akan menjadi teras kepada pembangunan dasar yang melibatkan warga kota terutama sekali  dalam menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi untuk jangka masa terkini dan hadapan.

Dalam bahasa mudah dasar yang digubal samada oleh kementerian beliau atau agensi berkaitan bukan sahaja untuk meyelesaikan masalah yang  dihadapi pada masa ini tetapi juga jangkaan isu masa hadapan.

Sebab itu amat penting konsep ini bukan sahaja dihayati oleh penggubal dasar tetapi juga oleh warga kota.

Terdapat 13 teras utama konsep Wilayah Prihatin ini yang akan memandu setiap dasar yang dibentuk iaitu perumahan, usahawan, gelandangan, kemiskinan, keselamatan, pendidikan, perpaduan, keindahan, kebersihan, sukan, asnaf, kehijauan dan seni budaya.

Teras tersebut sedikit sebanyak adalah manifestasi utama kemelut yang sering dihadapi oleh warga kota.

“Jika digabungkan kesemua 13 teras utama Konsep Wilayah Prihatin, ianya adalah satu idea besar untuk Kuala Lumpur yang menongkah arus persepsi lazim jika dikaitkan dengan arus permodenan kota ini yang penuh cabaran kerana bukan mudah untuk menyediakan konsep kehidupan  sempurna dalam sebuah kota.

Konsep ini bukan sahaja setakat penjenamaan sematamata tetapi  berpaksikan matlamat untuk menjadikan Wilayah Persekutuan sebagai tempat yang selesa didiami, mudah berurusan niaga dan juga mesra alam sekitar.

Secara mudahnya konsep ini secara spesifik mahu menjadikan bandaraya Kuala Lumpur sebagai bandar yang berkualiti tinggi dalam semua hal.

Matlamatnya juga mahu menyerapkan perasaan bahawa warga kota begitu bangga menjadi penghuni kota raya ini.

Strateginya boleh dianggap selari dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 yang mana jika di interpretasikan setiap dasar yang digubal untuk warga kota akan mengambil kira semua peringkat kepentingan dan ini diterjermahkan melalui 13 teras utama konsep tersebut.

Jika dilihat secara rambang mengenai tinjauan pendapat bandar terbaik dunia tidak kira samada sebagai tempat tinggal, lawatan jangka pendek atau kualiti kehidupan, bandaraya seperti Tokyo, Monte Carlo, Florence, Sydney, Amsterdam, New York atau London yang sering muncul dalam senarai.

Memang benar tinjauan ini bersandarkan pendapat seseorang, tetapi lazimnya pendapat tersebut tidak kira individu itu adalah pelancung, diplomat, ahli korporat atau perniagaan, kesemua pendapat tersebut diwarnai oleh pengalaman individu tersebut.

Pusat Pentadbiran Putrajaya yang dibangunkan 25 tahun lepas berkemungkinan lebih mudah direalisasikan matlamat yang terkandung dalam pelan induk kerana ia bermula dari asas iaitu bagaikan lukisan yang terbentuk dari lakaran di atas kanvas kosong.

Tetapi Kuala Lumpur adalah berbeza dari Putrajaya kerana pembangunan Kuala Lumpur telah pun bermula sejak puluhan tahun lampau dan lazimnya secara ad hoc.

Demi melahirkan sebuah kota di mana warganya berbangga menjadi sebahagiannya, ianya perlu bermula dari idea yang besar dan Konsep Wilayah Prihatin adalah sebahagian dari idea yang lebih besar ini.

Apabila Peter the Great mengilhamkan bandar St. Petersburg pada 1703, beliau mahu menjadikan bandar tersebut sebagai manifestasi empayar Rusia moden dengan mengguna pakai konsep bandar Amsterdam yang pada ketika itu adalah hub perdagangan Eropah.

Begitu juga apabila Chandigarh, India yang di ilhamkan sebagai ibukota Punjab dan Haryana, idea besarnya ialah bandar dalam sebuah taman seperti yang kita sedia maklum iaitu Putrajaya.

Jika digabungkan kesemua 13 teras utama Konsep Wilayah Prihatin, ianya adalah satu idea besar untuk Kuala Lumpur yang menongkah arus persepsi lazim jika dikaitkan dengan arus  permodenan kota ini yang penuh cabaran kerana bukan mudah untuk menyediakan konsep kehidupan sempurna dalam sebuah kota.

Ini adalah kerana gaya kehidupan bandar sentiasa dipengaruhi oleh faktor ekonomi dan alam sekitar. Malah pandemik Covid-19 telah meletakkan faktor kesihatan sebagai faktor pemangkin utama juga.

Konsep Wilayah Prihatin tidak dianggap sebagai pelan induk utama seperti yang dimiliki oleh Putrajaya kerana konsep ini adalah gabungan pelbagai teras yang dianggap perlaksanaan teras dilakukan mengikut keperluan semasa.

Umpamanya jika diambil teras kehijauan, salah satu faktor yang bakal menentukan kejayaan teras ini ialah perlaksanaan sistem pengangkutan yang mesra alam.

Ambil contoh bagaimana kebanyakan kota besar di Amerika Syarikat (AS) berjaya mengujudkan sistem jalanraya yang mesra pengguna dan juga alam sekitar.

Konsep yang digunakan perkongsian kemudahan jalanraya yang mula diperkenalkan pada 2005.

Konsep ini memberi hak yang sama kepada pejalan kaki, pengangkutan awam dan juga kenderaan persendirian.

Konsep perkongsian ini sebenarnya telah menjadi begitu popular dan dilaksanakan untuk berbagai sektor yang merangkumi kehidupan di bandar.

Kotaraya Auckland, New Zealand umpamanya mengamalkan konsep Program Perkongsian Ruang iaitu satu konsep satu ruang tetapi pelbagai penggunaan.

Banjir kilat adalah fenomena lazim yang sering ditempuh oleh warga kota Kuala Lumpur.

Menggunakan konsep kebersamaan 13 teras utama, penyelesaian masalah berulang ini bukan hanya mengambil kira faktor pembangunan struktur umpamanya pelebaran sungai atau kawasan tadahan, tetapi juga mengambil kira faktor kehijauan iaitu alam sekitar.

Ambil contoh bandar New Orleans, AS, yang terletak di bawah paras purata laut bergantung sepenuhnya kepada struktur mekanikal dengan mengepam air demi untuk mengelak bandar tersebut digelami air.

Taufan Katrina yang membadai New Orleans pada 2005 jelas mempamirkan kelemahan sistem kawalan banjir yang hanya mengharapkan bantuan struktur mekanikal.

Dengan mengambil kira faktor kehijauan, Taman Air Mirabeau iaitu kawasan paya yang juga bertindak sebagai kawasan tadahan air diujudkan di pinggir New Orleans.

Penyelesaian gabungan struktur dan strategi kehijauan ini banyak digunakan di Eropah untuk menghadapi lebihan air hujan secara  mendadak dan melalui Konsep WP Wilayah Prihatin ini akan mengabungkan elemen 13 tema bukan sahaja untuk mendepani banjir kilat tetapi akan diaplikasi dalam semua dasar yang melibatkan warga kota.

Harapannya satu hari ini Kuala Lumpur umpamanya akan disenaraikan sebagai antara bandar yang berkualiti tinggi dalam serba hal dan warga kotanya berbangga menjadi sebahagian dari nadinya.

Tetapi sebelum semua harapan itu tercapai, warga kota perlu menghayati dan memberi kerjasama kejayaan Konsep WP Wilayah Prihatin.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas