Artikel

Kibarkan Jalur Gemilang

KIBARKAN Jalur Gemilang sempena Bulan Kemerdekaan di rumah, pejabat dan juga kenderaan masing-masing.
- Diterbit 29 Ogos 2020 6:00 AM MYT

MENJELANG Isnin 31 Ogos, bererti sudah 63 tahun Malaysia negara tercinta mencapai kemerdekaan.

Betapa bertuahnya kita hidup dalam sebuah negara berbilang kaum yang aman damai, maju dan makmur.

Bagi Adi sendiri amat bersyukur lahir dan hidup di bumi bertuah ini.

Lihatlah di sekeliling kita di mana ada negara yang dilanda perang atau persengketaan dalaman. Negara musnah, kehidupan rakyat sengsara.

Bandingkan dengan Malaysia yang mana setiap hari rakyatnya dapat menghirup udara segar di samping bebas menjalankan pelbagai kegiatan seharian tanpa sekatan atau rasa bimbang.

Justeru Adi mohon agar rakyat Malaysia menghargai segala nikmat kehidupan ini.

Ia bukan datang bergolek tetapi hasil kerja keras serta pengorbanan para pemimpin dari dahulu hingga kini yang berjaya mengangkat martabat Malaysia menjadi antara negara disegani bukan sahaja di rantau ini tetapi juga dunia.

Ramai telah berkorban nyawa dan melalui pelbagai kepayahan untuk menjadikan Malaysia seperti apa yang ada di hadapan mata sekarang, baik pemimpin, pasukan keselamatan dan rakyat keseluruhan.

Kita sebagai pewaris pengorbanan dan perjuangan ini mesti mempertahankan apa yang telah dicapai demi generasi-generasi akan datang.

Inilah tanah air yang mesti kita cintai sepanjang masa.

Namun cinta kasih sayang usah sekadar ungkapan atau kata hati.

Terjemahkan dengan perbuatan. Sambutan ulang tahun kemerdekaan ini adalah peluang rakyat menunjukkan kecintaan kepada negara.

Tidak sukar dan tidak banyak yang diminta daripada rakyat.

“Bagi Adi ia amat sesuai sekali dalam menambah ‘roh’ Islam di Putrajaya yang kini memiliki pusat percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi di samping keindahan banyak bangunannya yang mempamerkan seni bina Islam.

Hanya tunjukkan semangat patriotik dan cinta negara itu dengan mengibarkan Jalur Gemilang, lambang kemegahan dan keagungan negara.

Adi menyeru warga Wilayah Persekutuan khususnya, agar menanamkan semangat ini dalam diri.

Kibarkan Jalur Gemilang di pejabat, rumah, kenderaan atau di mana jua bersesuaian. Biar semuanya nampak garang dan berseri.

Biar bendera berkibar megah apabila ditiup bayu.

Inilah juga harapan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa yang mahu setiap warga Wilayah Persekutuan menzahirkan kecintaan kepada negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang ‘Kempen Bulan Kemerdekaan’ sehingga menjelang Hari Malaysia 16 September.

Adi sangat bersetuju dengan gesaan Annuar kerana Jalur Gemilang adalah lambang kedaulatan negara.

Kerana itu mengibar bendera wajar dijadikan amalan kehidupan seharian, bukan hanya ketika ‘Kempen Bulan Kemerdekaan’.

Semoga warga Wilayah Persekutuan dapat menghayati pesanan Annuar ini dan mengamalkannya.

Tema sambutan Hari Kebangsaan tahun ini ialah ‘Malaysia Prihatin’.

Serapkan dalam hati tema ini dan tanya diri sendiri adakah kita semua benar-benar prihatin terhadap negara tercinta ini jika mengibar bendera pun tidak mahu? Ingatlah, di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung.

PUTRAJAYA KAMPUNG AL-QURAN

Putrajaya bakal menempa era baru dengan kewujudan ‘Perkampungan Al-Quran’ di pusat pentadbiran negara itu tidak lama lagi.

Projek ini yang diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa baru-baru ini, dijangka menelan kos RM150 juta.

Termasuk dalam projek ini ialah pembinaan sebuah masjid baharu di Putrajaya yang berkonsepkan Al-Quran dengan kos RM50 juta.

Ia dijangka dibina di Presint 14 dan akan menjadi masjid ketiga selepas Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin yang juga dikenali sebagai masjid besi.

Dalam kepesatan pembangunan fizikal Putrajaya, amat sesuai sekali ia diiringi dengan aspek pembangunan kerohanian yang lebih padu.

Bagi Adi, ‘Perkampungan Al-Quran’ adalah langkah baik ke arah pencapaian matlamat pembangunan seimbang jasmani dan rohani.

Adi juga melihat perkampungan ini sangat signifikan kerana ia akan mampu memperluaskan lagi fungsi Putrajaya bukan sahaja sebagai wilayah pentadbiran.

Sebaliknya ia juga akan menjadi ‘pusat ilmu’ yang membolehkan ilmu Al-Quran dikongsi dengan masyarakat secara lebih meluas dan berkesan melalui pendidikan dan pembelajaran berkaitan Al-Quran.

Seperti yang dinyatakan oleh Annuar, termasuk dalam ‘Perkampungan Al-Quran’ ini ialah pembinaan beberapa buah studio yang akan membuat kupasan-kupasan mengenai ilmu Al-Quran dalam pelbagai bentuk dan aspek.

ANNUAR meneliti model Al-Quran Mushaf Putrajaya yang bakal diterbitkan di Nasyrul Quran.

Ini untuk memudahkan lagi proses penyebaran ilmu kepada masyarakat.

Jelas penerapan ilmu berteraskan kitab suci itu menjadi fokus utama.

Bagi Adi ia amat sesuai sekali dalam menambah ‘roh’ Islam di Putrajaya yang kini memiliki pusat percetakan Al-Quran kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi di samping keindahan banyak bangunannya yang mempamerkan seni bina Islam.

Adi percaya ‘Perkampungan Al-Quran’ mampu meningkatkan kegemilangan Putrajaya dan warga penduduknya, khususnya di kalangan negara-negara Islam.

Perkampungan ini sememangnya unik kerana belum ada negara lain di dunia mempunyai konsep sedemikian.

Warga Wilayah Persekutuan khasnya dan Malaysia amnya pasti berbangga dengan perkampungan ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas