Agama

Hukum nafkah bagi isteri yang telah diceraikan

Hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan idah.
- Diterbit 24 September 2021 5:43 AM MYT

SOALAN

Assalamualaikum Datuk. Adakah suami wajib memberi nafkah selepas menceraikan isteri?

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat serta salam buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda, para sahabat serta mereka yang setia mengikuti perjuangan baginda sehingga ke hari kiamat.

Secara asasnya dalam bab talak, seorang isteri yang diceraikan berhak mendapatkan nafkah sepanjang tempoh idahnya daripada bekas suami.

Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

Maksudnya: “Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu).

Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya; kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya; dan berundinglah di antara kamu (dalam hal menyusunya) dengan cara yang baik.

Dan (sebaliknya) jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan, maka bolehlah perempuan lain menyusukannya.”

Surah al-Talaq (6)

Dari segi hak nafkah terhadap isteri, ia bergantung kepada kedudukan talak itu sendiri sama idah tersebut kesan daripada talak raj’i, talak ba’in atau idah kematian suami.

Imam al-Nawawi menyebut di dalam karyanya bahawa isteri yang berada dalam idah talak raj’i berhak mendapat semua nafkah sebagaimana nafkah yang diterima sewaktu dalam perkahwinan.

(Rujuk: Minhaj al-Tolibin, 264)

Tambahan pula, Syeikh Zainuddin menukilkan di dalam kitabnya bahawa sekiranya isteri itu diceraikan dengan sebab nusyuz, maka dia tidak layak untuk mendapat nafkah dalam tempoh idah tersebut.

(Rujuk: Fath al-Mu’in, hlm 535)[2]

Demikian juga, Syeikh Zainuddin menyebut di dalam karyanya bahawa perempuan yang berada dalam idah talak ba’in dan mengandung, berhak mendapat nafkah perbelanjaan termasuk tempat tinggal:

Maksudnya: “Nafkah juga wajib diberikan kepada wanita yang mengandung (yang telah diceraikan) dengan talak tiga.”

(Rujuk: Fath al-Mu’in, 536)

Namun, wanita yang diceraikan dengan talak ba’in wajib diberikan tempat kediaman dan tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan.

Perkara ini dijelaskan oleh Syeikh Muhammad bin Ismail di dalam kitabnya seperti berikut:

Wajib diberikan (disediakan) tempat kediaman bagi perempuan yang dicerai ba’in. Tidak wajib diberi nafkah dan segala bentuk perbelanjaan seperti pakaian, lauk dan lain-lain lagi kecuali mengandung mengikut pendapat yang sahih.

(Rujuk: Matla’ al-Badrain Pejabat Mufti Wilayah, 3/179)

Dr Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa majoriti ulama fikah berpendapat bahawa suami tidak wajib memberi nafkah kepada isteri yang sedang dalam idah kematian.

(Rujuk: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/ 7405)[3]

Selain itu, undang-undang keluarga Islam Wilayah-Wilayah Persekutuan 1984 memperuntukkan bahawa isteri yang telah bercerai berhak untuk menerima nafkah dari suaminya yang dahulu sehingga tamat tempoh idah atau sekiranya isteri nusyuz. Hal ini dinyatakan di dalam seksyen 65 (1):

“Hak bagi seseorang isteri yang telah bercerai untuk menerima nafkah daripada suaminya yang dahulu di bawah sesuatu perintah Mahkamah hendaklah terhenti apabila tamat tempoh ‘iddah atau apabila isteri itu menjadi nusyuz.”

Kesimpulannya, Islam menekankan tanggungjawab suami dalam memberi nafkah terhadap isteri bukan sahaja sepanjang tempoh perkahwinan, bahkan pensyariatan ini berjalan dan dilaksanakan selepas terjadinya perceraian.

Justeru, hak nafkah terhadap isteri yang diceraikan adalah bergantung kepada kedudukan idah dalam sesuatu talak itu sendiri, iaitu sama ada idah talak raj’i, idah talak ba’in atau idah kematian suami. Wallahua’lam. – WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas