Artikel

Kejayaan transformasi gelandangan

KEMENTERIAN Wilayah Persekutuan sangat prihatin dengan nasib gelandangan.
- Diterbit 24 September 2021 7:41 AM MYT

JIKA tidak dipecah ruyung dimanakan dapat sagunya. Rajin dan usaha tangga kejayaan. Atas semangat inilah gelandangan di ibu negara, yang diberi gelaran ‘Pahlawan Hijrah’ atau Hijrah Warrior berjaya merentasi transformasi kehidupan. Daripada kelompok yang meminta-minta kini mereka mampu berdikari.

Kebun pertanian yang mereka usahakan di Hiliran Anjung Kelana, Kuala Lumpur telah mengeluarkan hasil dan dipasarkan. Mereka kini muncul usahawan tani dan peruncitan. Tidak perlu lagi meminta ihsan demi sesuap nasi.

Bagi Adi, gelaran ‘Pahlawan Hijrah’ yang diberi oleh mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa memang tepat. Matlamat agar gelandangan menjadi pahlawan berjiwa kental serta komited berhijrah untuk kebaikan diri telah menjadi kenyataan.

Mereka boleh berbangga dengan kejayaan projek tanaman pertanian yang kini membuahkan hasil. Bakti disemai bukti dituai. Mereka membuktikan usaha kerajaan mengubah hidup mereka tidak silap. Peluang yang diberi tidak disia-siakan.

Untuk memasarkan hasil, Hijrah Warrior Mart (HWM) pula diwujudkan terletak di Teratak Muhibbah 1, Taman Desa, Kuala Lumpur. Ia menjadi lokasi bekas gelandangan ini memasarkan hasil pertanian agar lebih mudah diakses oleh orang ramai.

Pada peringkat awal, Hijrah Warrior Mart akan menjual hasil dari tanaman di Hiliran Anjung Kelana dan Kebun Kejiranan Bandar (KKB) di bawah program Local Agenda 21 (LA21). Ia beroperasi dari pukul 9 pagi hingga 9 malam.

Sebagai latar belakang, LA21 ialah inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) bertujuan mengeratkan hubungan masyarakat setempat dan mewujudkan aktiviti sampingan kepada warga kota.

Program yang diselia oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ini juga bermatlamat menjana ekonomi komuniti bandar. Kebun Kejiranan Bandar adalah antara insiatif tersebut.

Adi difahamkan, untuk meluaskan pasaran dan menyasar lebih ramai pengguna, selain jualan melalui Hijrah Warrior Mart, usaha sedang dilakukan bagi membolehkan hasil pertanian gelandangan dan KKB dipasarkan secara dalam talian atau online.

Selain itu, Hijrah Warrior Mart juga bakal diwujudkan di semua kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) DBKL.

Memetik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, tanaman pertanian gelandangan juga akan dipelbagai. Ini termasuk tanaman pokok buah-buahan hybrid jangka pendek seperti pisang, nanas, buah naga dan jambu batu merah jambu atau pink guava. Sesuai sekali kerana pertanian adalah perniagaan.

Dengan adanya projek pertanian dan pembukaan Hijrah Warrior Mart, gelandangan beroleh kerja dan sumber pendapatan tetap. Empat orang bekerja mengikut syif dengan gaji minimum RM1,200 sebulan. Tempat penginapan percuma disediakan.

Menurut Shahidan, sesuai dengan matlamat kementerian sebagai peneraju kemakmuran komuniti bandar, Hijrah Warrior Mart akan dijadikan hub keusahawanan sosial. Ini untuk membolehkan golongan sasar terlibat secara langsung dalam sektor peruncitan.

Adi bangga dengan transformasi gelandangan ini. Daripada kelompok yang ke sana ke mari tanpa arah tujuan dan meminta belas ihsan untuk hidup, kini mereka berdikari, ada kerja ada gaji. Arah hidup lebih pasti dan terjamin.

Kementerian Wilayah Persekutuan sangat prihatin dengan nasib gelandangan. Mereka yang bertebaran di pelbagai pelusuk ibu negara dikumpul dan diberi tempat berteduh di pusat-pusat gelandangan.

Namun itu adalah penyelesaian dan bantuan jangka pendek. Mereka tidak harus tinggal selama-lamanya di pusat gelandangan dan perlu keluar untuk berdikari selepas tempoh tertentu.

Kerana itu mereka diberi latihan, terutama dalam bidang perniagaan. Malah mereka yang mempunyai masalah dadah, dihantar ke pusat pemulihan. Setelah pulih, dibimbing dan dilatih berniaga. Kebun pertanian ialah hasil nyata setakat ini.

Adi optimis kegiatan ekonomi untuk gelandangan ini akan ditambah dan dipelbagai merangkumi sektor selain pertanian. Dengan itu sumber pendapatan mereka akan bertambah.

Semoga kejayaan gelandangan ini akan menjadi pendorong dan pembakar semangat kepada gelandangan lain menurut jejak sama, walaupun melalui usaha sendiri. Lebih elok bangun berusaha daripada terus hidup dalam keadaan tidak menentu dan meminta-minta. Tiada kejayaan dapat dicapai dengan mudah.

Tiada jalan singkat untuk mengubah nasib. Namun yang pasti jika berusaha bersungguh-sungguh, kejayaan akan digapai akhirnya. Biarlah bersakit-sakit dahulu tetapi senang kemudian.

KOS TUNAI HAJI DIJANGKA MENINGKAT

Setelah dua tahun tidak menghantar jemaah tanah suci iaitu pada 2020 dan tahun ini, Malaysia dijangka kembali menghantar jemaah pada musim haji 2022. Adi percaya ramai bakal jemaah dari Wilayah Persekutuan menunggu giliran, seperti juga dari negeri-negeri lain.

Namun belum dipasti kuota jemaah haji yang akan diberi kepada Malaysia. Ini berikutan norma baharu dan prosedur operasi standard (SOP). Justeru Adi harap bakal jemaah bersedia menghadapi kemungkinan jumlahnya berkurangan tahun depan.

Satu lagi yang perlu sedia dihadapi ialah kenaikan kos menunaikan haji ekoran SOP serta kenaikan kos operasi dan kos lain di Malaysia dan Arab Saudi. Penyediaan kemudahan di tanah suci berdasarkan SOP juga antara sebab kenaikan kos.

Ini telah dibayangkan oleh Pengarah Eksekutif Haji, Tabung Haji (TH), Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman. Menurutnya, peningkatan kos itu sebahagian besarnya berkait rapat dengan SOP seperti penjarakan fizikal, kapasiti bilik hotel dan bas serta jumlah jemaah dalam Masjidil Haram.

Kos haji pada 2019 ialah RM9,980 seorang untuk 40 hingga 45 hari. Ini merupakan ongkos bersubsidi dengan kerajaan menanggung subsidi RM 12,920. Tanpa subsidi bererti kos haji bagi setiap jemaah ialah RM22,900.

Kos dan subsidi haji 2022 belum diketahui. Namun Adi percaya kerajaan akan tetap memberi subsidi kepada yang pertama kali ke tanah suci, apatah lagi ketika orang ramai masih berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Tempias pandemik yang menyebabkan ramai hilang kerja dan sumber pendapatan juga mungkin menyebabkan ada bakal jemaah yang terpaksa menangguhkan hasrat ke tanah suci. Adi percaya kerajaan akan memberi perhatian terhadap kumpulan ini dan menimbang memberi bantuan sewajarnya.

Adi juga ingin ingatkan bakal jemaah agar meneliti dan benarbenar memahami peraturan yang ditetapkan selain mematuhi SOP. Misalnya pastikan bakal jemaah telah menerima dua dos suntikan lengkap vaksin COVID-19.

Selain mematuhi SOP kerajaan Malaysia, amat penting memahami dan mematuhi SOP kerajaan Arab Saudi demi memastikan kelancaran ibadah haji serta mengelakkan perkara-perkara tidak diingini menimpa jemaah Malaysia.

Tabung Haji akan menekankan perkara ini semua dalam 14 siri kursus yang diadakan secara dalam talian nanti. Menurut Syed Saleh, satu siri khusus menekankan SOP baharu di Arab Saudi serta hukum ibadat haji dalam suasana COVID-19 akan diadakan. Semoga ini bakal memudah dan melancarkan urusan jemaah di tanah suci. – WILAYAHKU – ADI TUAH

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas