Agama

MAIWP salur RM937,000 bagi program gerobok rezeki di masjid, surau

Idris (dua dari kiri) melakukan simbolik penyerahan cek kepada Mohd Ajib (dua dari kanan) di Masjid Jamek Al Khadijah, Pantai Dalam pada Isnin.
- Diterbit 24 September 2021 5:34 AM MYT

SEBANYAK RM937,000 dana zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) disalurkan bagi membiayai Program Gerobok Rezeki MAIWP yang dilaksanakan di masjid dan surau di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Program Gerobok Rezeki itu berfungsi sebagai platform membantu golongan miskin bandar dengan membekalkan barangan keperluan harian kepada masyarakat di 89 masjid dan 123 surau di tiga wilayah berkenaan.

Sumbangan melalui program itu juga selari dengan usaha MAIWP dalam menjejaki asnaf yang memerlukan, selain menyalurkan bantuan kepada ahli kariah majid dan surau yang terkesan akibat COVID-19.

Antara yang diagihkan secara bulanan di masjid dan surau terlibat ialah barangan makanan kering, kelengkapan mandian, pelitup muka dan barangan sanitasi.

Program itu dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad di Masjid Jamek Al-Khadijah, Pantai Dalam Isnin.

Turut hadir ialah Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) Datuk Mohd Ajib Ismail dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Mohd Nizam Yahya.

Program seumpama itu turut dilaksanakan di 100 sekolah di Kuala Lumpur dengan perbelanjaan RM500,000.

Pelaksanaan program itu merupakan inisiatif merentasi kaum serta agama, menjadikan semua keluarga murid daripada golongan B40 layak menerima bakul makanan itu, yang dilaksanakan dengan Kerjasama pihak sekolah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas