Agama

Hukum ipar-duai berlainan jantina tinggal serumah

TIDAK dinafikan kebarangkalian berlaku khalwat dengan ipar-duai walaupun hukum ipar berbeza dengan ajnabi.
- Diterbit 26 November 2021 4:11 AM MYT

Soalan

SAYA mempunyai adik beradik lelaki yang tinggal serumah untuk menumpang atas faktor kewangan. Sementara isteri saya suri rumah sepenuh masa.

Persoalannya, bolehkah ipar-duai tinggal sebumbung namun berlainan bilik ketika ketiadaan saya untuk keluar bekerja? Mohon pencerahan SS Mufti, terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, status perhubungan antara ipar-duai adalah haram muaqqat iaitu haram untuk dinikahi dalam tempoh waktu tertentu.

Implikasinya, mereka perlulah memelihara batasan aurat dan adab pergaulan ketika berinteraksi antara satu sama lain bukan seperti mahram yang lain.

Mereka juga tidak dibenarkan berkhalwat (berdua-duaan) apatah lagi bersentuhan kulit. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW:

Maksudnya: Berhati-hatilah kamu ketika masuk menemui wanita, lalu seorang lelaki Ansar berkata: Wahai Rasulullah, bagaimana pendapat engkau tentang ipar? Baginda bersabda: Ipar adalah maut.

Riwayat al-Bukhari (5232)

Riwayat al-Muslim (2172)

Rasulullah SAW menyatakan makna ipar adalah maut (al-hamwu al-maut) dalam hadis tersebut ialah tentang kebimbangan fitnah yang bakal muncul dari ipar-duai lebih besar bahayanya daripada orang lain.

Tidak dinafikan kebarangkalian berlaku khalwat dengan ipar-duai walaupun hukum ipar berbeza dengan ajnabi, iaitu ipar merupakan mahram sementara yang haram dinikahi manakala wanita ajnabi tidak haram untuk dinikahi.

Maksud ipar ialah kerabat suami selain bapa, datuk dan anak-anaknya.

Adapun bapa dan anakanak suami hukumnya sudah menjadi mahram untuk isterinya.

Sementara adik-beradik lelaki suami, anak saudara, pakcik sebelah suami dan seumpamanya tidak dikira sebagai mahram.

Maksud al-Maut di dalam hadis ialah kebinasaan dan kemusnahan dalam kehidupan yang mana ipar-duai lebih utama dilarang dan dijauhi berkhalwat.

Hal ini kerana berdua-duaan dengan ipar-duai membawa kepada fitnah dan kebinasaan dalam agama.

(Rujuk Sahih Muslim 4/1711, Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 14/154)

Syariat Islam melarang perbuatan khalwat antara lelaki dan perempuan yang tiada hubungan mahram melainkan si wanita ditemani oleh mahramnya, seperti abang, bapa atau datuk.

Perkara ini ditekankan dalam sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Maksudnya: “Seorang lelaki tidak boleh berdua-duaan dengan seorang perempuan melainkan mahram perempuan itu ada bersamanya.”

Riwayat Muslim (1341)

Menurut Imam Ibn Battal, seseorang lelaki diharamkan khalwat dengan iparnya yang mana perbuatan ini mampu membawa ke arah kebinasaan melalui perasaan curiga orang lain dan membuka ruang fitnah yang terhasil dari bisikan syaitan seperti zina dan seumpamanya.

Oleh yang demikian, Rasulullah SAW hanya membenarkan seseorang lelaki bertemu atau bersama-sama dengan seorang wanita yang ditemani oleh mahramnya.

(Rujuk Syarah Sahih al-Bukhari, Ibn Battal (7/357)

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkaitan keberadaan adik beradik suami di rumah bersama isteri tersebut ketika suami keluar bekerja, maka perbuatan berdua-duaan antara ipar-duai yang berlainan jantina dalam serumah tanpa ditemani orang ketiga atau mahram adalah haram kerana boleh menimbulkan syak dan fitnah seperti hadis yang dikemukakan dengan menyebutkan ipar sebagai al-maut.

Sehubungan itu, pihak suami perlu mengasingkan tempat tinggal saudara lelakinya daripada duduk serumah memandangkan rutin harian suami akan keluar berkerja dan isteri sebagai suri rumah.

Tidak dinafikan menyewa rumah bergantung kepada kemampuan individu masingmasing.

Namun begitu, individu tersebut perlu sedaya upaya mencari bilik sewa mampu milik berbanding duduk menumpang bersama ipar demi menutup ruangan fitnah.

Justeru, umat Islam perlu sedaya upaya mengelakkan diri daripada menimbulkan sebarang fitnah terhadap dirinya.

Penutup

Hukum ipar-duai tinggal serumah yang ketiadaan mahram adalah dilarang oleh syarak dan perlu dijauhi bagi menutup pintu fitnah (sadd aldzari’ah).

Namun, ipar-duai menziarahi dan menumpang rumah bermalam yang berasingan bilik dibolehkan selagi adanya mahram disisi ipar duai dan aman daripada fitnah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas