Artikel

Transformasi penjaja, gerai makan di KL

KONSEP perniagaan penjaja melalui transformasi ke arah lebih bersih, kemas dan efisien sesuai dengan trend masa kini.
- Diterbit 26 November 2021 3:28 AM MYT

HARI berganti masa beredar. Masa banyak mengubah segalanya. Tidak terkecuali ialah konsep perniagaan oleh para penjaja makanan di ibu negara. Ia kini melalui proses transformasi ke arah lebih bersih, kemas dan efisien sesuai dengan trend masa kini.

Untuk beberapa dekad, konsep gerai makan menggunakan payung besar atau kanopi kecil mewarnai tempat menjamu selera di Kuala Lumpur dalam persekitaran yang kurang teratur. Susunan kerusi meja di gerai ada kalanya mengganggu pergerakan orang ramai.

Kini konsep asal penjaja ini perlahan-lahan bertukar kepada kaedah yang lebih terkini, lebih sistematik. Pihak berwajib iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyediakan kawasan perniagaan lebih teratur, lebih kondusif, khususnya di kawasan hot spot atau tumpuan ramai.

Ini termasuk mempertingkat kemudahan berniaga menggunakan trak makanan atau food truck yang kini semakin popular di ibu negara kerana lebih mudah dan kemas. Tidak perlu gerai dengan kanopi atau payung. Penyediaan makanan atau minuman terus dari trak.

Selain itu pusat penjaja semakin moden, menepati trend semasa atau bercirikan hipster yang sememangnya menjadi daya penarik kepada pengunjung. Lokasinya pula terbuka dan santai, tidak memerlukan kawasan luas.

Konsep perniagaan baharu ini merupakan inisiatif Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam usaha menambah baik inisiatif Usahawan Anak Muda Kota (UAMK) yang mula diperkenalkan pada November 2020.

Matlamatnya memastikan penjaja yang menyertai UAMK, dan penjaja yang terjejas akibat tempias pandemik COVID-19, melonjakkan perniagaan melalui lokaliti yang disediakan oleh DBKL.

Memetik Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim, UAMK kini sudah mempunyai 181 tapak niaga berkonsep trend semasa dan hipster dengan 90 orang peniaga terpilih mengisi kekosongan tapak niaga yang disediakan.

Dengan kaedah food truck dan pusat penjaja yang sesuai dengan peredaran semasa diharapkan para peniaga dapat menarik lebih ramai pelanggan.

Seterusnya dapat menambah pendapatan melalui kaedah perniagaan corak baharu yang lebih appealing kepada pelanggan.

Adi tumpang bangga kerana program UAMK ini berjaya melahirkan ramai usahawan belia menceburi bidang perniagaan merangkumi francais, kios, jualan boot kereta atau car boot sales dan trak makanan.

Satu contoh tempat menjamu selera berkonsep hipster ini ialah Tapak Urban Street Dining di Taman Melati, Setapak. Kawasan makan minum terbuka berkonsep kios ini nampak simple tetapi begitu bersih, kemas dan santai yang merupakan ciri-ciri amat disukai pelanggan.

Konsepnya adalah seperti tempat makanan terbuka atau outdoor food court. Ia menyamai konsep ‘syurga makanan’ yang popular pada era 70-an di Kuala Lumpur, iaitu Benteng dan Campbell. Namun yang ada di Taman Melati ini lebih tersusun, lebih sistematik.

Konsep tempat makan terbuka memang disukai pengunjung. Mereka merasa lebih bebas dan santai.

Tetapi tidak kurang pentingnya ialah kebersihan dijaga, makanan enak dan harga berpatutan serta khidmat yang cepat dan memuaskan.

Adi difahamkan, projek UAMK ini keseluruhannya akan melibatkan 1,122 kios di 169 lokasi di Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sesuai dengan suasana semasa dan konsep hipster, kios akan direka bentuk dengan ciri lebih moden, teratur, kemas dan bersih.

Ciri-ciri ini amat penting bukan sahaja untuk menarik pelanggan tetapi juga memastikan ia bertepatan dengan imej Kuala Lumpur sebagai pusat kegiatan ekonomi negara serta Putrajaya sebagai pusat pentadbiran negara.

Perniagaan secara trak makanan kini sedang berkembang. Daripada permulaan sedikit-sedikit dahulu, kini ia berkembang dan sudah boleh banyak dilihat di seluruh ibu negara.

Trak makanan digalakkan oleh DBKL sebagai satu langkah perubahan kepada konsep berniaga tradisonal berkonsepkan kerusi meja, payung dan kanopi.

Food truck adalah konsep moden yang mengangkat martabat warung makan cara lama.

Sebagai bukti galakan kementerian kepada food truck, bantuan deposit RM10,000 disediakan kepada mereka yang berhasrat menceburkan diri dalam perniagaan sedemikian dengan harapan ia akan merancakkan program berkenaan.

Bantuan ini adalah sebagai pemangkin kepada bakal peniaga. Tentunya ia akan dapat mengurangkan beban menyediakan modal untuk mula berniaga, juga pembelian food truck, terutama bagi mereka yang berminat tetapi tiada modal permulaan.

Selain itu, DBKL akan mewujudkan beberapa lokasi berpusat untuk memastikan peniaga ditempatkan di lokasi strategik dan sistematik.

Contohnya seperti lokasi food truck di Pekarangan Stadium Bola Sepak di Cheras.

Sehingga ini Adi difahamkan, DBKL telah menyediakan tujuh lokasi panas atau hot spots tumpuan pelanggan dan 138 lokasi pit stop di seluruh Kuala Lumpur.

Kesemua lokasi ini memberi manfaat kepada 250 peniaga trak makanan.

Orang ramai juga kini semakin meminati konsep perniagaan food truck. Tambahan lagi kepentingan peniaga dan pelanggan diberi perhatian, misalnya menaik taraf kemudahan di kawasan hot spot, menyediakan cloud kitchen di samping membenarkan usahawan jualan boot kereta menjalankan perniagaan.

Bagi program jualan boot kereta ini sendiri, 30 petak disediakan di Bandar Tasik Seri Permaisuri, Cheras, yang beroperasi secara penggiliran pada hari Jumaat, Sabtu dan Ahad.

Ini adalah projek perintis dan melihat sejauh mana perkembangan dan peningkatan usahawan ini. Jika berjaya, besar kemungkinan ia akan dijalankan di lokasi lain pula. Sesungguhnya Adi kagum dengan usaha Shahidan dan pihak kementerian yang sentiasa berusaha membuka peluang berniaga, terutama kepada golongan muda. Kementerian juga berusaha memastikan mereka yang terlibat dalam bidang ini terus maju.

Sementara lokasi berniaga baharu dengan konsep baharu dilakukan, konsep berniaga sedia ada tetap dipertahan dengan penambahbaikan agar nampak moden dan terus dikunjungi pelanggan.

Ambil contoh Pusat Penjaja D’ Laman Rasa, Sungai Besi. Pusat ini ditambah baik menjadi lokasi selera moden dan memberi keselesaan kepada kedua-kedua pihak, peniaga dan pengunjung.

Mereka tidak lagi terdedah kepada hujan dan panas sambil menjamu selera dalam persekitaran yang bersih.

Inilah rahmat yang dinikmati oleh para peniaga di kawasan tersebut, berniaga dalam suasana ceria dan selesa setelah 20 tahun berniaga di tepi jalan berteman hujan dan panas serta persekitaran tidak kondusif.

Pusat penjaja D’ Laman Rasa menempatkan 64 penjaja, dilengkapi kemudahan kitchen hood, tandas, surau, rumah sampah serta parkir untuk kemudahan pengunjung menjamu selera.

Adi percaya apa pun konsep perniagaan yang dijalankan, baik di tempat terbuka atau tertutup, ia tetap akan menarik pengunjung selagi kriteria asas dipenuhi, iaitu kebersihan, makanan enak, harga berpatutan dan servis bagus. Tidak kurang penting, berniagalah dengan jujur.

Adi — Pilih gerai bersih – Adi Tuah

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas