Berita

Hujahan sama ada permohonan kebenaran semakan kehakiman difail Anwar didengar dahulu pada 17 Feb

- Diterbit 10 Februari 2021 9:57 AM MYT

MAHKAMAH Tinggi menetapkan 17 Feb untuk mendengar hujahan sama ada permohonan kebenaran semakan kehakiman difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penggantungan persidangan Parlimen dalam tempoh darurat perlu didengar terlebih dahulu sebelum dirujuk ke Mahkamah Persekutuan.

Anwar memfailkan permohonan kebenaran semakan kehakiman pada 25 Jan bagi mencabar tindakan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung persidangan Parlimen dalam tempoh darurat.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata Hakim Datuk Seri Mariana Yahya memerintahkan pihak-pihak dalam kes berkenaan berhujah mengenai perkara itu pada prosiding yang akan diadakan secara dalam talian.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Bernama selepas prosiding pengurusan kes di hadapan Mariana secara dalam talian hari ini. Turut sama Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy dari Jabatan Peguam Negara dan peguam yang mewakili Anwar iaitu Ramkarpal Singh dan Sangeet Kaur Deo.

Anwar memohon kebenaran semakan kehakiman itu dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden pertama dan kedua.

Dalam permohonan itu, Anwar memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai oleh Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk memasyhurkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.

Anwar memohon deklarasi bahawa Seksyen 14 Ordinan Darurat itu tidak konsisten dengan Perkara 150 (3) dan (5) Perlembagaan Persekutuan serta tidak berpelembagaan dan tidak sah selain memohon perintah mandamus memerintahkan kedua-dua responden untuk menasihatkan Al-Sultan Abdullah untuk membatalkan Seksyen 14 Ordinan Darurat berkenaan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu juga memfailkan permohonan untuk merujuk beberapa persoalan kepada Mahkamah Persekutuan berhubung semakan kehakimannya terhadap keputusan kerajaan dalam menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan Proklamasi Darurat.

Persoalan yang dikemukakan untuk dipertimbang Mahkamah Tinggi bagi dirujuk kepada Mahkamah Persekutuan termasuk sama ada keputusan menasihati dan/atau nasihat yang diberikan oleh kabinet yang dipimpin oleh perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong tertakluk di bawah klausa penggulingan dalam Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Persoalan kedua ialah sama ada keputusan untuk memberi nasihat dan/atau nasihat yang diberikan oleh kabinet yang diketuai perdana menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menggantung Parlimen, boleh disemak semula oleh mahkamah.

Anwar juga mahu mahkamah memutuskan sama ada  Seksyen 39(2) Akta Malaysia 1963, Seksyen 15(d) Akta Perlembagaan (Pindaan) 1981 serta Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan tidak konsisten dan/atau bertentangan dengan Perkara 4, 5,  8 dan 121 (1) Perlembagaan Persekutuan dan memohon agar mahkamah memutuskan sama ada bidang kuasa mahkamah termasuk kuasa menyemak semula prosedur, dapat dihalang sepenuhnya oleh perundangan. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas