Berita

KBS rancang lancar VSN 2030 suku pertama tahun ini

- Diterbit 10 Februari 2021 10:08 AM MYT

KEMENTERIAN Belia dan Sukan (KBS) merancang untuk melancarkan Visi Sukan Negara 2030 (VSN 2030) sebagai blue print (rangka tindakan) baharu sukan negara pada suku pertama tahun ini.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata VSN 2030 itu bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan dan bersatu melalui pembangunan dan pembudayaan sukan.

“Ia meliputi enam teras utama iaitu pembudayaan, prasarana, sukan prestasi tinggi, sains dan teknologi, profesionalisme dan industri sukan.

“Saya telah sebutkan VSN 2030 mesti mendapat input daripada pelbagai pihak dan saya secara peribadi meletakkan sasaran suku pertama 2021 sebagai tarikh pelancarannya,” katanya semasa sesi penyampaian amanat di Facebook rasmi KBS, hari ini.

Reezal Merican turut berkata Malaysia cukup berbangga dengan pencapaian legenda skuasy negara Datuk Nicol Ann David yang berjaya dinobatkan sebagai Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.

Namun, beliau menegaskan pencapaian bidang sukan negara secara keseluruhannya, masih boleh dipertingkatkan.

Dalam perkembangan lain, Reezal Merican berkata pihaknya telah mengemukakan beberapa mekanisme baharu termasuk pewujudan Rakan Muda-Sports Bubble Volunteers (SBV) kepada Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

“SBV ini akan bertanggungjawab memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta advokasi program kesedaran menerusi konsep pemerkasaan komuniti.

“Saya cukup yakin, jika mekanisme SBV ini berjaya, kita laksanakan dengan berkesan, mekanisme dan model sama berkemungkinan digunakan oleh industri dan sektor lain,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas