Berita

Hui Ying rangkul emas pertama WP acara 5,000m Lumba Jalan Kaki

HUI Ying merangkul pingat emas pertama WP di SUKMA XX MSN 2022.
- Diterbit 15 September 2022 5:30 AM MYT

KONTINJEN Wilayah Persekutuan berjaya merangkul emas pertama menerusi atlet Kok Hui Ying dalam acara 5,000m lumba jalan kaki wanita yang diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, pagi ini.

Hui Ying berjaya mencatat masa 28 minit 45 saat sementara rakannya yang juga atlet Wilayah Persekutuan, Nurul Ashikin Hussin meraih gangsa dengan catatan masa 29 minit 50 saat.

Menurut Hui Ying, penglibatannya buat pertama kali di pentas SUKMA ini amat bermakna apabila dirinya berjaya menyumbangkan pingat emas pertama buat kontinjen Wilayah Persekutuan.

“Semestinya saya sangat gembira apabila ini merupakan pingat emas pertama buat kontinjen kami. Dengan kejayaan ini segala penat lelah serta latihan yang dilakukan sebelum pertandingan amat berbaloi.

“Memandangkan ini merupakan aksi kali pertama, saya tidak meletakkan harapan tinggi dan hanya mahu buat sehabis baik,” katanya sewaktu ditemui Wilayahku sejurus tamat acara 5,000m Lumba Jalan Kaki Wanita.

Tambahnya sokongan kuat daripada ahli keluarga membantu dirinya untuk melakukan yang terbaik pada hari ini.

“Saya berterima kasih kepada kedua ibu bapa yang sentiasa memberi sokongan meskipun mereka risau sekiranya saya mengalami sebarang kecederaan yang teruk.

“Namun mereka masih memberi sokongan penuh dan itu membuatkan saya hanya mahu mempamerkan aksi terbaik,” ujarnya.

Katanya lagi, ketika perlawanan, dia menerima satu kad amaran namun ia tidak mengganggu momentumnya untuk terus kekal berada di hadapan.

“Sewaktu berjalan tadi saya menerima satu kad amaran akan tetapi saya cuba kekal fokus agar ia tidak mengganggu momentum ketika itu yang sudah pun berada di hadapan,” jelasnya yang mengalami kesakitan di kaki namun tiada kecederaan serius dilaporkan.

Hui Ying akan berehat satu hari sebelum menyambung sesi latihannya bagi mengahadapi pertandingan seterusnya pada Khamis minggu hadapan. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas