Berita

Isu amang seksual, “Saya terlibat, tetapi…” – Firdaus Wong

- Diterbit 14 September 2022 11:33 PM MYT

SANGAT mengejutkan ramai apabila selebriti agama didakwa melakukan amang seksual terhadap remaja lelaki bawah umur baru-baru ini.

Apa yang tidak sedap didengar apabila ada netizen turut mengaitkan nama penceramah motivasi popular, Ustaz Firdaus Wong.

“Ya, memang saya terlibat! Tetapi bukan suspek dan bukan juga sebagai mangsa.
“Sebenarnya sayalah individu yang membantu mangsa-mangsa,” tegasnya memperbetulkan dakwaan umum.

Firdaus terpaksa membuat penjelasan itu setelah ada individu cuba mengaitkannya menerusi beberapa ciapan yang dimuat naik di laman Twitter.

Tambahan pula menurutnya, artikel dikongsikan individu yang sengaja mencetuskan provokasi itu adalah laporan berita lama terbitan 2019.

Bahkan suspek yang terlibat dalam kes itu secara kebetulan mempunyai nama sama dengannya iaitu Firdaus Wong.

“Artikel berita di Twitter itu walaupun namanya Firdaus Wong, tetapi, itu bukan saya. Malah artikel berita itu pada 2019.

“Tertuduh bernama Muhammad Firdaus Wong Abdullah, sedangkan nama saya Firdaus Wong Wai Hung,” kongsinya yang telah memaafkan tindakan individu yang dianggapnya kekeliruan fakta. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas