Artikel

Jururawat kerjaya yang mulia

- Diterbit 10 Mei 2024 9:30 AM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

TULISAN kali ini dimulakan dengan ucapan Selamat Hari Jururawat Sedunia kepada sekalian jururawat – tidak kira yang sudah bersara atau masih bertugas dalam bidang yang penting lagi unik itu. Terima kasih kerana telah mencurahkan bakti kerana tidak banyak orang yang mampu dan mahu bekerja dalam persekitaran orang sakit.

Jururawat bukan kerjaya biasa, tidak sahaja memerlukan kemahiran dalam memberikan penjagaan dan rawatan. Malah memerlukan persiapan mental berdepan pesakit yang berbagai-bagai ragam. Kemahiran sahaja bukanlah satu kunci kejayaan melainkan turut menjiwai kerjaya.

Memang benar, mereka dibayar gaji dan faedah lainnya. Tetapi bayangkan kalau sebahagian besar jururawat yang ada memilih kerjaya lain yang lebih menyeronokkan, sudah tentu kita berdepan dengan masalah.

Kita bernasib baik kerana ada yang sanggup bekerja dalam keadaan yang penuh tekanan. Selepas doktor, jururawat adalah orang yang bertanggungjawab secara tidak langsung terhadap pesakit, terutama yang memerlukan pemerhatian yang intensif.

Ahad ini 12 Mei adalah Hari Jururawat Sedunia. Sempena hari istimewa itu mereka tentunya tidak menuntut apa-apa penghargaan atas segala yang diberikan pada kerjaya. Bagaimanapun sebagai orang yang tidak terkecuali daripada mendapat khidmat jururawat, eloklah kita memahami dan memberikan apresiasi terhadap mereka.

Hari Jururawat Sedunia tidaklah sepopular Hari Valentine yang merupakan peluang kapitalis mengaut keuntungan daripada sambutan hari berkenaan. Pada Hari Valentine budaya konsumerisme digerakkan semahu-mahunya dengan menjual segala macam barangan yang berkaitan hari berkenaan.

Bagaimanapun Hari Jururawat Sedunia tidak ada sesuatu yang boleh mengkayakan kapitalis. Tidak ada lagu atau muzik yang menumpang Hari Jururawat Sedunia seperti Hari Valentine. Tidak ada barangan yang boleh menjana pendapatan kapitalis sempena Hari Jururawat Sedunia.

Oleh sebab itu tidak hairanlah kalau ada dalam kalangan kita tidak sedar bahawa 12 Mei setiap tahun adalah hari memperingati sumbangan lebih 11 juta orang yang bergelumang dalam kerjaya kejururawatan di seluruh dunia.

Hari Jururawat Sedunia kerap berlalu tanpa banyak yang memberikan penghargaan terhadap kerjaya yang mulia itu. Biasanya tarikh dalam bulan Mei itu selalu dibayangi sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei, Hari Ibu pada Ahad minggu kedua setiap Mei dan Hari Guru pada 16 Mei.

Hari Jururawat Sedunia terselit di tengah-tengah. Jururawat bagi sebahagian daripada kita adalah sama dengan kerjaya lain. Kita selalu menganggap kerjaya itu hanya untuk makan gaji. Tetapi jarang daripada sudut yang melampaui garis biasa daripada pandangan umum.

Dalam lain perkataan masyarakat jarang diasuh melihat kerjaya-kerjaya tertentu di luar tujuan sekadar makan gaji. Selain makan gaji jururawat memberikan khidmat kemanusiaan yang bukan kecil nilainya kepada orang sakit yang sesetengahnya tidak ada harapan untuk hidup.

Tetapi jururawat terus menghidupkan harapan pesakit yang seperti itu dengan pendekatan kemanusiaan, kemahiran dan pengalaman. Yang beragama Islam memberikan keyakinan dengan mendekatkan pesakit kepada kuasa Yang Maha Esa. Semua itu tidak boleh dilakukan oleh robot yang menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang sekarang ini menguasai banyak bidang yang dilakukan manusia.

AI tidak boleh menjaga serta merawat jiwa orang sakit yang mati harapannya untuk hidup. Sebabnya AI bukan seperti jururawat yang sosoknya manusia yang berjiwa dan ada pertautan rasa kemanusiaan itu juga menjadi penawar pada sakit.

Oleh hal yang demikian kerja yang dilakukan oleh jururawat tidak boleh diambil alih oleh robot. Hal itu membuktikan antara jururawat dengan pesakit wujud pertautan kemanusiaan yang menjadi sebahagian daripada penawar dalam proses rawatan.

NYAWA PESAKIT

Sedar atau tidak, kita sebenarnya terhutang budi kepada mereka yang memilih menjadi jururawat. Kalau bukan kita sendiri yang menjadi penghuni katil hospital, adik-beradik atau saudara-mara tentu pernah menjadi ‘tetamu’ jururawat di hospital.

Tidak semua orang mempunyai tahap kesabaran yang luar biasa yang perlu dimiliki oleh jururawat. Malah tidak semua juga yang mampu mempamerkan wajah dan kata-kata yang sentiasa menjanjikan masa depan kepada pesakit biar seteruk mana sekalipun keadaan mereka.

Ubat yang dibekalkan dan teknologi dalam perubatan hanya sebahagian daripada proses rawatan. Selebihnya penawar itu ada kepada setiap jururawat yang sentiasa memberikan harapan bahawa esok masih ada kepada semua orang. Mereka adalah orang yang paling mengerti makna hilang harapan.

Tarikh 12 Mei dipilih kerana signifikan dengan tarikh lahir pengasas kerjaya kejururawatan, Lady Florence Nightingale (Lady of the Lamp) pada awal abad ke-19 lalu. Tetapi bukanlah mengagung-agungkan wanita itu. Suatu hakikat yang perlu diakui adalah penjagaan kesihatan yang menyeluruh tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan berkesan tanpa penglibatan jururawat.

Menurut statistik Majlis Jururawat Antarabangsa, 80 peratus perkhidmatan kesihatan peringkat asas dilakukan oleh jururawat. Pada 10 tahun lalu Kementerian Kesihatan mengisi 90,961 daripada 111,812 jawatan. Sebanyak 42,090 daripada jawatan adalah jururawat.

Statistik juga menunjukkan negara ini mempunyai lebih kurang 43,969 jururawat termasuk 8,700 yang berkhidmat di sektor swasta. Itu menunjukkan 43,969 jururawat memberi khidmat kepada 30 juta rakyat negara ini.

Dalam kata lain nisbahnya ialah seorang jururawat untuk 500 orang. Nisbah ini sebenarnya satu perkembangan menarik kalau dibandingkan statistik tahun 1999 iaitu seorang jururawat untuk 1,055 orang.

Hal itu menunjukkan pertambahan jumlah jururawat antara faktor penting memastikan pendekatan dan peningkatan kesedaran terhadap kesihatan. Bayangkan daripada 1,055 orang menjadi 500 orang bagi seorang jururawat, sudah tentu lebih terfokus untuk menyampaikan maklumat.

Nisbah itu juga menunjukkan jururawat adalah satu kerjaya yang penting kepada negara untuk memastikan kesihatan rakyat berada pada tahap yang sewajarnya. Malah kerjaya itu tidak tersisih daripada tumpuan kerajaan dan jururawat bukan pilihan terakhir setelah gagal memasuki bidang kerjaya lain.

Banyak dalam kalangan yang memilih menjadi jururawat bukanlah kerana tidak berjaya dalam kerjaya lain. Dengan tahap akademik, mereka boleh memilih kerjaya lain yang tidak perlu bersusah payah menjaga orang sakit. Sebaliknya pilihan sebagai jururawat dilihat sebagai kesedaran untuk memberi sumbangan kepada masyarakat.

Oleh hal yang demikian, kita harus bersyukur kerana ada yang memilih kerjaya yang mencabar itu dan menjadi perantara yang humanis antara teknologi rawatan yang canggih, kepakaran para doktor dan pesakit terutama yang terlalu tenat.

Cabaran jururawat adalah masa. Mereka tidak boleh bertangguh sesaat pun kerana setiap detik itu sangat mahal nilainya pada nyawa pesakit. Tentu berbeza dengan kerjaya lain dalam sektor awam yang boleh menangguhkan kerja untuk beberapa jam, hari atau minggu berikutnya.

Selamat Hari Jururawat Sedunia.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas