Putrajaya

Nilai estetik di Taman Saujana Hijau

- Diterbit 10 Mei 2024 10:07 AM MYT

PUTRAJAYA sememangnya terkenal dengan seni bina yang cukup unik menjadikannya antara destinasi wajib dilawati bagi pelancong dalam mahupun luar negara. Dibangunkan dengan tema Bandar Raya Dalam Taman, Putrajaya berhasil menunjukkan khazanah alam di Malaysia mempunyai pesona luar biasa.

Memiliki lebih daripada 10 taman awam di sekitarnya, antara yang menjadi tumpuan adalah Taman Saujana Hijau di mana konsep landskapnya membuatkan pengunjung seolah-olah berada di Eropah.

Berkeluasan 116 ekar, Taman Saujana Hijau lebih dikenali sebagai hutan tanah tinggi atau hutan conifer kerana kepelbagaian tumbuhan spesies gymnosperm atau tumbuhan tanah tinggi seperti pokok pine, juniperus, thuja, cycas yang membentuk landskap tanah tinggi yang sangat menarik.

Tumbuhan gymnosperma dikenali juga oleh sebilangan saintis sebagai fosil hidup kerana ia telah wujud sejak zaman Devon (410-360 juta tahun lalu) sebelum era dinosaur.

Dibina dengan ‘Tropical High Country’ menjadikannya destinasi pilihan aktiviti antaranya beriadah, berpiknik, joging, berbasikal mahupun bergambar bersama ahli keluarga pada hujung minggu.

Menurut Naib Presiden (Jabatan Landskap dan Taman) Perbadanan Putrajaya (PPj), LAr Haslinda Khalid, bagi memastikan taman tersebut sentiasa dalam keadaan baik dan terus menjadi tumpuan pelancong, pengoperasian merupakan perkara yang sangat dititikberatkan.

“Bagi pengoperasian perkhidmatan di taman ini, ia diurus selia dan dikendalikan oleh Bahagian Rekreasi dan Operasi Taman, Jabatan Landskap dan Taman PPj. Di antara perkhidmatan yang dikawal selia adalah permohonan sewaan tapak, aktiviti penggambaran, fotografi dan berkelah.

“Namun begitu, bagi tujuan penyelenggaraan taman pula ia diurus selia oleh Bahagian Pengurusan dan Penyelenggaraan Landskap, Jabatan Landskap dan Taman PPj di mana bahagian ini telah melantik kontraktor bagi menguruskan kerja-kerja penyelenggaraan dan pengindahan taman ini.

“Kami juga sangat menitikberatkan kepuasan pelanggan bagi kemudahan fasiliti serta perkhidmatan taman yang ditawarkan agar pengunjung dan pelanggan berasa selesa dan selamat apabila mereka berkunjung ke taman bagi melakukan aktiviti rekreasi,” katanya.

Tambahnya antara keistimewaan dan keunikan Taman Saujana Hijau adalah landskapnya bercirikan bukit dan tumbuhan-tumbuhan hijau yang unik berbentuk conical menjadikannya salah satu lokasi tarikan untuk sesi penggambaran.

“Ia turut dibahagikan kepada tiga zon ataupun bustan iaitu Bustan Eropah, Bustan Oriental, dan Bustan Inggeris. Setiap taman ini bukan sahaja membawa estetik tertentu malah tumbuhan yang ditanam di setiap bahagian ini akan mencerminkan budaya dan identiti setiap tema serta identiti seni bina wakaf ataupun gazebo yang melambangkan negara seperti Eropah dan China.

“Sebagai contoh di Taman Eropah, pengunjung disajikan dengan kawasan berbukit dikelilingi dengan pokok-pokok pine manakala di Taman China terdapat beberapa Chinese-style pagoda sementara Taman Inggeris pula dipenuhi dengan pokok juniper.

“Berbeza dengan taman lain yang banyak dihiasi pokok-pokok bunga dan tumbuhan tropika, Taman Saujana Hijau pula dipenuhi pokok-pokok pine dan conifer serta tumbuhan hiasan dari pelbagai rantau yang menjanjikan kelainan kepada pengunjung.

“Ekoran keadaan geografinya yang berbukit pengunjung juga boleh menyaksikan pemandangan Putrajaya dan kawasan sekitarnya dari titik tertinggi di taman ini,” ujarnya.

Kongsinya pokok paling tua atau yang paling awal ditanam adalah pokok pinus caribaea yang ditanam pada tahun 2003 dan sebanyak 2,764 nos pokok ditanam di awal pembangunan taman ini.

Kafe konsep Inggeris

Berkongsi lanjut, Haslinda berkata PPj sentiasa mengadakan pelbagai program dan aktiviti bersesuaian serta memastikan penyelenggaraan taman diselenggara untuk menjadikan ia sentiasa meriah, cantik, bersih dan selesa dikunjungi.

“Salah satu tarikan terbaru yang terdapat di Taman Saujana Hijau ialah laluan ramp sepanjang 130 meter yang dibina di antara pokok-pokok pine. Pengunjung boleh berjalan melalui ramp dan akan disambut dengan simfoni burung-burung berkicau, daun-daun berdesir yang membawa vibes seolah-olah berada di Eropah.

“Selain itu, kita juga dalam perancangan untuk membangunkan sebuah kafe yang berkonsepkan english open space untuk menarik lebih ramai pengunjung datang ke Taman Saujana Hijau ini.

“Di samping itu, pihak kami turut akan menyediakan ruang-ruang photo opportunity di dalam taman supaya pengunjung dapat merekodkan momen serta kenangan indah mereka berlatarbelakangkan pemandangan yang cantik apabila mereka datang ke sini,” ujarnya.

Haslinda berkata untuk maklumat lanjut berkenaan acara dan aktiviti yang dijalankan di Taman Saujana Hijau, orang ramai boleh layari media sosial PPj @perbadananputrajaya atau di laman sesawang www.ppj.gov.my.

“Untuk kadar harga sewaan dan tempahan, orang ramai boleh hubungi di talian 03-8887 7770 atau e-mel di [email protected] atau ke kaunter khidmat pelanggan di Taman Botani, Presint 1, Putrajaya,” katanya. – WILAYAHKU

 

Alamat: Jalan P11, Presint 11, 62000 Putrajaya

Waktu Operasi : 7 pagi hingga 7 malam (setiap hari)

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas