Berita

Hormati guru, disiplin mengulang kaji

SHAHRUDDIN (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Pelajar Cemerlang program tuisyen DBKL baru-baru ini.
SHAHRUDDIN (tengah) bergambar bersama penerima Anugerah Pelajar Cemerlang program tuisyen DBKL baru-baru ini.
- Diterbit 4 Julai 2019 5:56 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR – Sentiasa menghormati guru-guru, tumpukan perhatian dalam pelajaran dan berdisiplin dalam mengulang kaji pelajaran setiap hari merupakan kunci utama bagi seorang pelajar yang menerima Anugerah Tokoh Peperiksaan PT3 2018 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini baru-baru ini.

Nur Hannani Athirah Rosli, 16, yang merupakan pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Permaisuri di sini berkata, dia mengulangkaji pelajaran selama kira-kira dua jam setiap hari.

“Saya akan selalu bertanya kepada guru sekiranya tidak dapat memahami pelajaran selain sering mengadakan perbincangan bersama rakan-rakan sekelas,’’ katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.

Nur Hannani yang merupakan anak kedua dari dua adik beradik bercita-cita untuk menjadi doktor pakar kanak-kanak berkata, dorongan kedua-dua ibu bapa menjadi pembakar semangat kepadanya untuk mencapai kejayaan

“Saya melahirkan kesyukuran kerana mendapat bimbingan melalui program NADI anjuran DBKL dan berharap dapat mengekalkan kejayaan dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun hadapan,’’ katanya yang mencatat keputusan 8A 2B dalam PT3 tahun lalu.

Terdahulu Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh menyampaikan anugerah kepada 123 pelajar cemerlang melibatkan 65 murid bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR); Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Agama (18); PT3 (31) dan 9 pelajar lepasan SPM.

Shahruddin berkata, program tuisyen di bawah inisiatif DBKL itu me­libatkan 105 buah sekolah di seluruh ibu kota.

“Program ini menyasarkan pelajar-pelajar yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) bagi memastikan mereka menjadi pelajar cemerlang,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas