Berita

Serangan pemain bola sepak: Jangan timbulkan spekulasi tidak berasas

PELBAGAI spekulasi timbul ekoran insiden yang menimpa dua bintang Harimau Malaya ini. Kredit: Media sosial
- Diterbit 10 Mei 2024 8:55 AM MYT

MINGGU lalu negara digemparkan dengan tindakan individu melampau yang menyimbah asid kepada pemain bola sepak kebangsaan, Mohd Faisal Halim.

Selain itu, dalam kejadian berasingan pemain sayap Terengganu FC (TFC), Akhyar Rashid juga turut diserang individu tidak dikenali sehingga mendatangkan kecederaan kepadanya.

Susulan dua kejadian itu, ramai yang mengecam pihak tidak bertanggungjawab yang sanggup melakukan tindakan tidak beradab dan zalim tersebut.

Malah di media sosial, isu ini terus diperkatakan dan pelbagai andaian muncul sehingga terdapat segelintir pihak yang sewenang-wenangnya mengaitkan kejadian tersebut ada berkaitan dengan pihak kerajaan.

Tidak dapat dipastikan tujuan dakwaan tersebut namun yang pasti ia hanyalah fitnah yang sengaja direka untuk kepentingan tertentu yang dibimbangi akan mewujudkan sentimen negatif jika terus dibiarkan.

Tampil memberi reaksi berkaitan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai supaya tidak melakukan sebarang spekulasi berhubung insiden menimpa dua bintang Harimau Malaya tersebut.

“Seperti diketahui, individu kes yang membabitkan Faisal Halim telah dikenal pasti dan polis diberi kepercayaan dan ruang sepenuhnya untuk menjalankan tugas.

“Pesanan saya, orang awam usah lakukan spekulasi dalam apa juga keadaan, itu tak membantu apa keadaan pun,” katanya kepada pemberita di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) 2024, baru-baru ini.

Malah tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas individu yang terbabit dalam dua insiden serangan berkenaan.

“Pihak polis memandang berat perkara ini, buat pemain bola sepak kesemuanya, saya ingin ulangi tanggungjawab memelihara keamanan serta ketenteraman awam adalah tugas polis dan sama sekali tidak berkompromi.

“Dua insiden ini sangat menyedihkan. Kepada semua pemain saya ulangi jaminan keselamatan dan keamanan, mereka patut tumpukan kepada karier menjelang liga yang akan bermula,” ujar beliau.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas