Oleh NAZWIN NAZRI
[email protected]
PUTRAJAYA – Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) digesa supaya menjadikan rumah transit yang disediakan kerajaan sebagai pusat untuk menyalurkan bantuan kepada golongan gelandangan.
Tegas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad, langkah tersebut dapat menggalakkan golongan terbabit untuk berada di pusat transit dan menjadikan lokasi tersebut sebagai tumpuan.
“Kita sudah minta supaya pihak NGO yang selalu berurusan dengan gelandangan ini menentukan pemberian makanan dibuat di pusat transit, bukan ke tempat mana golongan itu berada.
“Masalah ini yang kita tidak mahu tangani dengan kekasaran,” katanya kepada Wilayahku baru-baru ini.
Khalid berharap, pihak NGO dan mana-mana individu terlibat dapat memahami hasrat kerajaan sekali gus bersama-sama menjaga kebersihan di ibu kota.
Malah kata beliau, kerajaan juga telah menyediakan segala kemudahan untuk golongan gelandangan yang turut memberi keselesaan.
“Kita sudah siapkan tempat untuk mereka tetapi nampak gayanya walaupun sudah ada rumah transit, mereka masih berminat tidur di tepi sungai dan sebagainya,” ujarnya.
Baru-baru ini, Wilayahku melaporkan kelibat golongan gelandangan tidur dan menyidai pakaian di sekitar projek River of Life (RoL) hingga mencacatkan pemandangan kawasan tersebut yang merupakan tarikan baharu pelancong ke ibu negara.
Malah beberapa kemudahan awam yang disediakan untuk kemudahan pengunjung juga dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.