Berita

Portal Residensi Wilayah lebih mesra pengguna

KHALID (kiri) dan Saripuddin menunjukkan aplikasi untuk orang ramai memohon rumah Residensi Wilayah secara atas talian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya baru-baru ini.
KHALID (kiri) dan Saripuddin menunjukkan aplikasi untuk orang ramai memohon rumah Residensi Wilayah secara atas talian pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan di Putrajaya baru-baru ini.
- Diterbit 4 Julai 2019 5:54 AM MYT

PUTRAJAYA – Proses permohonan pembelian rumah Residensi Wilayah melalui portal baharu bagi menggantikan portal Rumawip sedia ada dilihat lebih mesra pengguna dengan menggunakan aplikasi telefon pintar.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, penambahbaikan tersebut akan memberi kemudahan kepada pemohon yang berminat untuk mengetahui mengenai projek Residensi Wilayah.

“Elemen infografik, mesra pengguna dan responsif kepada peranti luar seperti iphone, ipad dan tablet menjadi tarikan utama kepada pengguna.

“Ia akan menjadi lebih mudah kepada pengguna untuk melayari laman web bagi mendapatkan maklumat terkini terutamanya mengenai projek-projek perumahan,’’ katanya pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Wilayah Persekutuan di sini baru-baru ini.

Hadir sama timbalannya, Datuk Dr. Shahruddin Md. Salleh dan Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Saripuddin Kasim

Dalam pada itu, Khalid berkata, kementerian menaikkan syarat kelayakan umur bagi permohonan Residensi Wilayah daripada 18 tahun kepada 21 tahun bagi menjamin kesediaan pembeli membiayai pinjaman perumahan berkenaan.

“Sebelum ini umur 18 tahun tidak munasabah kerana ada yang masih bersekolah dan tidak bekerja. Ada kemungkinan nama mereka disalah guna pihak lain untuk membeli rumah,’’ katanya.

Kata Khalid lagi, terdapat sebanyak 280,000 permohonan Residensi Wilayah dengan 5,600 adalah pemohon berumur 18 tahun. Tambahnya, daripada jumlah itu, hanya dua peratus atau 10 orang yang diluluskan dengan kebanyakannya dibiayai oleh ibu bapa masing-masing.

Menurutnya, status pencapaian ke­seluruhan pelaksanaan Residensi Wilayah adalah sebanyak 47,889 unit daripada 70 projek sejak 1 Julai tahun lepas.

“Kementerian juga telah membuat beberapa penambahbaikan bagi memantapkan lagi dasar rumah mampu milik di Wilayah Persekutuan antaranya menetapkan keluasan minimum 900 kaki persegi berbanding 800 kaki persegi sebelum ini,’’ katanya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas