Berita

Microsoft labur RM10.5 bilion

ANWAR menerima kunjungan hormat Satya di Putrajaya baru-baru ini. Kredit: Facebook Anwar Ibrahim
- Diterbit 10 Mei 2024 8:50 AM MYT

PELBAGAI usaha dilakukan kerajaan dengan memberi tumpuan terhadap penstrukturan semula ekonomi agar hasilnya dapat diagihkan kepada rakyat.

Kerajaan MADANI yang dipimpin Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin jelas dengan hala tuju sekali gus lebih menjamin kualiti hidup masyarakat.

Kebijaksanaan beliau memperkukuh hubungan dengan negara luar menyaksikan pelbagai pelaburan asing berjumlah puluhan bilion berjaya dibawa masuk ke negara ini membantu mengukuhkan nilai ringgit.

Namun, masih terdapat rungutan daripada pihak yang tidak pandai untuk mensyukuri hasil kerja keras kerajaan dengan mendakwa PM hanya pandai berkata-kata tanpa membuktikan keberhasilannya.

Segelintir golongan ini bijak memainkan isu negatif untuk menarik minat pihak lain untuk memburukkan kerajaan selain menutup mata biarpun pelbagai kejayaan telah pun terbukti dalam menaikkan ekonomi negara.

Terbaharu satu lagi pencapaian yang membanggakan apabila Microsoft, sebuah syarikat gergasi perisian komputer mengumumkan pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion).

Pelaburan dalam tempoh empat tahun itu diumumkan ketika kunjungan hormat Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella di Putrajaya, baru-baru ini.

“Satya memaklumkan bahawa gergasi teknologi Microsoft bersetuju untuk menambah pelaburan berjumlah AS$2.2 bilion (RM10.5 bilion) dalam tempoh empat tahun mendatang,” tulis Anwar di laman sosial Facebook.

Beliau turut memaparkan dan berkongsi gambar pertemuan dengan Satya. Sudah pasti ia adalah perkongsian yang amat membanggakan. Malah hasil daripada pelaburan tersebut bakal melimpah serta dinikmati oleh setiap rakyat negara ini.

Pelaburan tersebut meliputi pembangunan sistem dan infrastruktur awan, kecerdasan buatan (AI) serta mewujudkan peluang kemahiran AI untuk tambahan 300,000 orang.

Difahamkan jumlah itu adalah pelaburan terbesar pada satu-satu masa oleh Microsoft sejak bertapak selama 32 tahun di Malaysia.

“Malaysia menyambut baik keputusan pelaburan ini yang membuktikan keyakinan mereka kepada asas ekonomi negara yang kukuh, dasar-dasar yang jelas dan terarah, selain mesra pelabur dan kestabilan politik.

“Pelaburan ini selari dan akan menjadi pendukung utama kepada fokus kerajaan dalam membangunkan kapasiti AI dalam negara,” katanya.

Nampaknya satu persatu pelaburan masuk ke dalam negara, ia bukan sahaja petanda keyakinan syarikat-syarikat gergasi dunia terhadap Malaysia, malah memperlihatkan jalan semakin cerah untuk masa depan negara ini. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas