Berita

Solusi berharga demi Hulu Langat

- Diterbit 10 Mei 2024 9:00 AM MYT

DIKENALI sebagai seorang figura yang tegas, Yang Berhormat (YB) Mohd Sany Hamzan sentiasa komited dalam memastikan masa hadapan penduduk Hulu Langat terjamin.

Sentiasa dekat di hati penduduk kawasan tersebut, sejak dilantik sebagai Ahli Parlimen Hulu Langat, pelbagai masalah dapat diatasi sekali gus beliau begitu disenangi ramai.

Bagi menyelami sisi hebat sosok tersebut, wartawan Wilayahku, SYED HAZIQUE NOR sempat menemu ramah YB Sany seterusnya mendengar pengalaman dan fokus utama sepanjang berkhidmat di Hulu Langat.

Apakah cabaran yang dihadapi YB sepanjang berkhidmat sebagai Ahli Parlimen di sini?

Walau di mana sahaja pasti ada cabaran serta rintangan yang perlu dihadapi. Sebagai seorang wakil rakyat yang membesar di sini, saya dekat dengan penduduk serta memahami situasi atau apa jua masalah yang dihadapi oleh mereka.

Soal aduan, masalah yang dibangkitkan penduduk, kita ada jalur-jalur yang dibawa selain kerjasama dengan agensi bagi mencari jalan penyelesaian jangka pendek dan panjang.

Antaranya terdapat juga masalah kekurangan sekolah, kerana sekolah yang sedia ada sudah terlebih kapasitinya, saya meminta pembinaan sekolah baharu di beberapa kawasan bagi memudahkan urusan pembelajaran pelajar-pelajar.

Seterusnya juga masalah banjir, umum sedia maklum kes banjir besar yang berlaku beberapa tahun dahulu, saya bersama pasukan serta agensi-agensi kerajaan negeri dan persekutuan giat membangunkan semula pelbagai infrastruktur.

Selain membina tebing yang lebih tinggi, kita turut membaiki jalan yang rosak dan sebagainya.

Itu adalah antara cabaran yang perlu dihadapi, ia sukar namun tidak mustahil untuk saya bersama pasukan menyelesaikannya demi memberikan kesenangan hidup kepada penduduk di sini.

Apakah fokus utama YB dalam membangunkan kawasan Parlimen Hulu Langat?

Bercakap tentang soal pembangunan, saya amat menekankan tentang pembangunan di sekolah terutamanya infrastruktur sekolah itu sendiri.

Kita penuhi atau bantu kekurangan yang dihadapi kerana pelajar-pelajar inilah yang akan mengubah nasib keluarga, menjadi pemimpin masa hadapan.

Selain itu, kawasan Hulu Langat ini amat berdekatan dengan ibu negara, selain Putrajaya, KLIA, Cyberjaya, justeru, orang ramai juga mula mencari rumah untuk didiami di sini. Pada masa sama, ia juga meningkatkan produktiviti rakyat.

YB dilihat amat menekankan aspek pendidikan, apakah jenis bantuan atau peruntukan yang telah YB lakukan kepada sekolah-sekolah di sekitar Hulu Langat?

Dengan pendidikan seseorang itu mampu mengubah nasibnya sendiri termasuk keluarga, malah dengan ilmu juga mampu memberi manfaat kepada semua pihak termasuk negara.

Kita diberikan peruntukan kira-kira RM2 juta setiap tahun melalui Program Mesra Rakyat (PMR) oleh Perdana Menteri.

Justeru dari situ juga, kita bahagikan dana tersebut dengan membangunkan kawasan sekolah, melaksanakan majlis, malah kerajaan negeri juga menyediakan pelbagai inisiatif buat pelajar-pelajar terus berusaha menimba ilmu. Ilmu juga boleh menjadi pelindung kita satu hari nanti di samping manfaat kepada pihak lain juga.

Bagaimana pula bantuan kepada penduduk di sini?

Melalui peruntukan itu juga kita salurkan kepada kesemua kira-kira 50 buah kampung, rukun tetangga masjid, surau, rumah ibadat lain, infrastruktur dan sebagainya.

Tahun lepas sahaja kita dapat menyelesaikan sebanyak 77 projek demi membantu kelangsungan hidup warga Hulu Langat ini.

Pada masa sama, kita juga memberi bantuan kepada golongan-golongan memerlukan, bukan sahaja dalam bentuk duit, malahan barangan keperluan juga.

Apakah perancangan menghapuskan atau meminimakan miskin tegar?

Soal miskin tegar ini, ia tidak akan habis dengan hanya memberi bantuan dan pada masa sama, individu itu juga perlu berusaha untuk mencari pendapatan seterusnya mengubah nasib.

Kalau tengok di Selangor, kita ada lebih 50 Program Iltizam Penyayang. Selain itu, ada lagi program-program di mana kita menghulurkan bantuan dari segi kemahiran.

Sebagai contoh, jika individu itu mahir buat kek, kita sediakan peralatan, jika mahir menjahit, kita beri mesin jahit, daripada situ, mereka akan mengembangkan perniagaan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas