Berita

Sedia garis panduan pemeliharaan pokok

Kredit: BERNAMA
- Diterbit 10 Mei 2024 9:10 AM MYT

PERSATUAN Arborist Malaysia (PArM) menggesa pihak berkepentingan meningkatkan pemeriksaan secara berkala serta menyediakan garis panduan pemeliharaan pokok-pokok bagi mengelakkan kejadian pokok tumbang berlaku lagi.

Presidennya, Mohd Zailani Jamil berkata kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika terdapat satu garis panduan berhubung penjagaan dan penyeliaan pokok-pokok yang sewajarnya kepada semua pihak tertentu.

“Adalah wajar jika pihak berkaitan mengutamakan pelaksanaan program pemeriksaan dan penyelenggaraan yang komprehensif untuk memastikan keselamatan pokok terjamin terutama di kawasan bandar.

“Jangan terlepas pandang soal kepentingan dan kebaikan pokok besar di kawasan bandar kerana ia memainkan peranan penting dalam meningkatkan kualiti kehidupan dengan menyediakan tempat teduh, kualiti udara, mengurangkan pencemaran bunyi serta meningkatkan daya tarikan persekitaran,” kata beliau.

Menurut Zailani, insiden pokok tumbang yang berlaku di ibu kota pada Selasa sehingga mengorbankan satu nyawa dan mencederakan seorang mangsa menjadi peringatan kepada semua pihak untuk mempertimbangkan keperluan akar pokok dalam pembangunan kawasan sekitar.

“Ini kerana, akar pokok adalah penyumbang utama kepada kestabilan pokok jadi jika ada gangguan seperti pemotongan di kawasan sekitar mahupun pembangunan seperti pembinaan laluan pejalan kaki, ia boleh menyebabkan berlakunya pereputan dan boleh mengganggu sistem tumbesaran dan percabangan akar sihat dan ketahanan pokok tersebut.

“Ketahanan pokok adalah bergantung kepada tahap kekuatannya untuk bertahan dan jika ada banyak gangguan ia boleh menyebabkan berlaku lagi kejadian sedemikian.

“Ada pokok yang boleh mencecah 200 hingga 400 tahun, ini kerana ia bergantung kepada aspek bagaimana penjagaan tersebut dilakukan.

“Justeru itu, adalah sewajarnya jika kita menitikberatkan aspek penjagaan rapi pokok-pokok, jika tidak ditambah pula dengan keadaan cuaca yang ekstrem berupaya berlaku kejadian tersebut,” jelasnya.

Zailani berkata pihaknya percaya bahawa beberapa cadangan tindakan untuk memantau pokok-pokok berkenaan akan dilakukan dan jika pokok-pokok tersebut didapati perlu dilupuskan pastinya ada kaedah.

“Disebabkan itu pentingnya pengetahuan mengenai penjagaan pokok agar segala tindakan dapat dilakukan dengan kaedah yang betul bukan sahaja di Malaysia malah di negara-negara lain juga perlu ada pendedahan tentang penjagaan pokok ini.

“Kompetensi dalam pengurusan pokok berisiko dalam berbagai peringkat sangat perlu termasuk kemahiran vokasional untuk menjalankan kerja penyelenggaraan pokok,” ujar beliau.

Terdahulu, pada sesi tinjauan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa di lokasi kejadian pokok tumbang, beliau berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan melihat keperluan untuk mengkaji semula garis panduan pemeliharaan pokok-pokok tua di sekitar ibu kota.

Beliau berkata, pihaknya mengenal pasti banyak pokok berusia 50 sehingga 80 tahun di sekitar ibu negara.

Sementara itu, aktivis masyarakat, Gulam Muszaffar Gulam Mustakim berkata, satu pangkalan data mengenai pokok perlu diwujudkan bagi mengenal pasti status ketahanan pokok-pokok tua di sekitar ibu negara yang kebanyakannya sudah berusia.

Gulam berkata ia merangkumi elemen kecacatan, kesihatan, jangka hayat serta ketahanan pokok di mana kebanyakan pokok-pokok sudah berusia hampir 100 tahun dan memerlukan penjagaan khas.

“Difahamkan, ada pihak yang memeriksa pokok-pokok ini dua tahun sekali namun dalam keadaan cuaca yang tidak menentu masa kini, kita tidak lagi boleh bersandarkan kepada laporan berkala seperti itu.

“Ia memerlukan pengurusan khas untuk mengawal selia pokok-pokok ini yang kaedahnya perlu dibincangkan bersama pakar-pakar berkaitan,” katanya.

Tambahnya, pihak berkaitan juga perlu segera mengambil langkah proaktif bagi memastikan kejadian sedemikian tidak berulang lagi pada masa hadapan dengan mengambil kira status ibu kota sebagai bandaraya hijau.

“Profil mengenai pokok-pokok ini juga sewajarnya boleh diakses oleh masyarakat umum bukan hanya sebagai makluman, tetapi persediaan sekiranya mereka berada di kawasan yang berhampiran.

“Selain itu, jika pokok-pokok tersebut telah dikenal pasti, ia perlu ditanda bagi membolehkan orang ramai berhati-hati ketika melalui kawasan berkenaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas