Artikel

Hormati garis sempadan antara agama

PROVOKASI dan menghina rumah ibadat adalah dilarang dan boleh menimbulkan konflik antara agama.
- Diterbit 29 Januari 2024 12:00 PM MYT

BARU-BARU ini, berlakunya perbuatan khianat membakar masjid dan surau di Sri Medan, Johor. Perbuatan khianat ini adalah perbuatan terkutuk yang kesannya bukan hanya kepada perasaan individu, tetapi kepada seluruh masyarakat yang beragama Islam. Perbuatan provokasi ini melibatkan institusi agama iaitu rumah ibadat yang merupakan tempat suci untuk beribadah bagi penganut beragama Islam.

Larangan provokasi dan menghina rumah ibadat adalah sangat dilarang oleh Islam. Hal ini kerana ia akan menimbulkan kemarahan penganut agama lain dan akan menyebabkan mereka bertindak balas dan mencela Islam kembali. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu memaki dan mencela sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana nanti mereka akan membalas dengan cara memaki Allah melampau-lampau pula tanpa ilmu.” (Surah al-An‘am: 108).

Rasulullah SAW sangat memahami sensitiviti keagamaan ini. Nabi memerintahkan untuk menghormati segala rumah ibadat dan selalu memerintahkan para sahabat untuk tidak merosakkan rumah ibadat dalam peperangan. Bahkan selepas Perang Hunain, Nabi memerintahkan untuk memulangkan lembaran kitab Taurat di sela-sela harta rampasan perang.

Begitulah toleransinya Islam dalam berinteraksi dengan agama lain dan halusnya Nabi menjaga sensitiviti antara agama ini.

Mengapa Islam melarang umatnya menyentuh sensitiviti agama lain? Hal ini adalah kerana kepercayaan agama, rumah ibadat, kitab suci dan ritual agama adalah perkara yang mempunyai keterkaitan dengan ketuhanan agama masing-masing. Elemen ini adalah perkara sensitif dan harus menjadi garis sempadan (border line) antara agama yang harus dihormati.

Sekiranya garis ini dilanggar, ia boleh menimbulkan konflik antara agama yang menyentuh emosi penganutnya. Ia akan menimbulkan rasa tidak senang, rasa tidak puas hati, rasa marah dan bangkit emosi perjuangan mempertahankan agama masing-masing.

Maka, sekiranya ada pengganas yang melakukan aksi bom bunuh diri atau pengeboman terhadap rumah ibadat dan dituduh mereka itu Muslim, tentu yang pasti, mereka bukanlah orang yang taat pada agama Islam. Hal ini kerana, Islam tidak mengajarkan untuk merosakkan rumah ibadat agama lain.

Malangnya, ada segelintir masyarakat yang tidak sensitif akan garis sempadan ini. Mereka menyentuh sensitiviti antara agama dan kesannya, berlaku balas-membalas sehingga menyebabkan tragedi terbakarnya masjid dan surau. Maka, rumus mudahnya, sekiranya kita tidak mahu agama kita dihina, begitu juga janganlah kita menghina agama lain, menyentuh sensitiviti atau membuat provokasi yang jelas merosak keharmonian antara penganut agama.

Bagi kita yang tinggal di Malaysia yang tercinta ini, keharmonian antara penganut agama yang dinikmati negara hari ini adalah nikmat yang harus kita syukuri. Toleransi beragama di negara Malaysia ini cukuplah luas dan dilindungi Perlembagaan. Semua penganut agama negara ini bebas menganuti agama masing-masing dengan aman dan harmoni.

Walaupun Perlembagaan Persekutuan menjadikan Islam adalah agama negara ini, tetapi kita harus bersyukur di mana keadilan Islam itu menjadikan semua penganut agama dapat hidup aman dan harmoni di negara tercinta ini. Hayati Rukun Negara ketiga iaitu menghormati keluhuran Perlembagaan, maka kita harus menghormati masyarakat yang berbeza agama dan kaum di negara ini.

Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam kemajmukan ini, usahlah menyentuh sensitiviti antara agama ini. Janganlah kerana sesebuah pernyataan provokasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab, menjadikan kita terprovokasi pula.

Kita harus rasional dan menyelesaikan isu-isu antara agama di negara ini dengan baik, bermula dengan kita saling menghormati garis sempadan antara agama ini. Begitu juga pernyataan yang boleh mengundang provokasi juga harus dielakkan baik secara verbal mahupun tulisan di media sosial. Ia akan menjadi mudah tular dan mengundang tujahan komen yang berbaur kemarahan. Provokasi ini lebih buruk sekiranya disentuh untuk tujuan politik.

Maka, jangan hanya kerana kepentingan peribadi atau parti, garis sempadan agama ini kita langgar dan tergamak pula menyentuh sensitiviti agama. Jangan kerana nila setitik, mampu menggadai keharmonian beragama yang telah kita nikmati di negara ini setelah sekian lama. Mahukah kita menjadi negara berkonflik yang berlaku kebakaran rumah ibadah sana dan sini seperti di negara lain? Tentu tidak! Maka, untuk menjaga keberlangsungan masyarakat Madani di Malaysia, peliharalah keharmonian kaum dan agama di negara ini.

PENULIS Dr Atifah Ahmad Yusoff merupakan Pensyarah Kanan di Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas