Rencana

Mencorak destinasi di tahun baharu

TETAPKAN azam dan matlamat baru dengan tekad yang tinggi. - Gambar hiasan
- Diterbit 19 Januari 2024 12:10 PM MYT

SETIAP kali tibanya bulan Januari saban tahun, ruangan media sosial pasti akan dipenuhi dengan posting setiap daripada kita yang sibuk merumuskan azam tahun baharu masing-masing. Meskipun begitu, ada juga yang masih lagi sedang merenung, tertanya-tanya, mencari-cari apa azam yang ingin diwujudkan.

Persoalannya, adakah kita benar-benar faham apa makna di sebalik kata ‘azam’ tersebut? Azam atau juga boleh disebut sebagai resolusi yang merupakan gagasan perubahan yang positif untuk mencapai tujuan tertentu dalam hidup sepanjang tempoh setahun yang akan datang.

Lazimnya ia akan dinyatakan pada awal tahun sebagai bentuk komitmen dalam meningkatkan diri atau mencapai pencapaian tertentu. Penetapan azam adalah merupakan cara untuk seseorang individu tersebut memotivasikan diri, merumuskan tujuan yang diidamkan dan memusatkan fokus pada peningkatan kendiri atau pencapaian sepanjang tempoh setahun.

Ia boleh mencakupi pelbagai bidang seperti pendidikan, kesihatan, kerjaya, hubungan interpersonal dan juga peningkatan kendiri ke arah yang lebih positif. Pada awal tahun baharu ini, ayuh kita sama-sama tetapkan azam dan matlamat dengan tekad yang tinggi untuk kita terus berjuang meraih impian kita.

Namun begitu, perlu juga diingatkan bahawa setiap azam yang ingin ditetapkan mestilah dibedah siasat dengan teliti terlebih dahulu. Adakah azam itu dapat dicapai dalam masa 365 hari? Sejauh mana nilai dan manfaat azam tersebut bagi diri kita? Adakah terdapat kemudaratan untuk diri kita dalam proses mencapai azam tersebut? Dan yang tak kurang pentingnya, bagaimana strategi yang perlu kita gerakkan agar azam tersebut tercapai dengan jayanya?

Dalam konteks ini, kaedah SAMIC3 tampaknya menjadi panduan yang sesuai untuk diguna pakai dalam menetapkan matlamat yang bersesuaian dengan kemampuan diri. SAMIC3 merangkumi prinsip-prinsip penting, iaitu sederhana (simple), dapat dicapai (attainable), dapat diukur dengan jelas (measurable), turut terlibat sama (involved), dapat dikawal (control), dapat memberi komitmen (commit) dan berterusan (continuous). Dengan mengaplikasikan kaedah ini, azam yang ditetapkan lebih realistik, terukur dan dapat dicapai dalam tempoh setahun tersebut.

Namun demikian, menjadi tanda tanya juga dimana perlukah untuk kita menetapkannya setiap tahun? Adakalanya, kita tidak perlu mencipta azam yang baru tetapi sebaliknya kita perbaharui dan tambah baik semula azam yang lama supaya peningkatannya menjadi pilihan yang lebih bijak dalam hidup.

Jika tahun sebelumnya tujuan masih belum tercapai, maka azam tahun ini akan menjadi momentum untuk kita menyusun semula strategi dan berusaha bersungguh-sungguh dalam mencapai matlamat tersebut.

Namun, dalam pada kita berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang telah ditetapkan, jangan pula kita lupa tentang kesejahteraan minda. Kesejahteraan minda merupakan aspek utama yang memainkan peranan penting dalam kecemerlangan kita mencapai azam tersebut di mana kesihatan minda yang baik membolehkan kita berfungsi dengan optimal dalam menempuhi cabaran dan dinamika lingkungan yang beraneka ragam.

Pasti ada yang tertanya-tanya mengapa minda yang sihat ini perlu dijaga untuk mencapai azam yang diinginkan? Minda atau pemikiran memainkan peranan yang sangat penting dalam mempengaruhi emosi dan tingkah laku kita.

Menyedari hakikat ini, penting untuk kita mengekalkan pemikiran yang positif atau rasional terutamanya dalam persekitaran yang toksik supaya kita sentiasa terhindar daripada melakukan perkara-perkara yang berbahaya dan di luar kewarasan dalam proses untuk mencapai azam yang ingin digenggam.

BATU LONCATAN

Terdapat beberapa tips yang boleh membantu untuk membentuk minda yang sihat antaranya pilihlah kawan yang bersikap positif di mana kita boleh berkongsi nilai yang sama, saling memotivasikan diri dan membimbing ke arah untuk mencapai azam tahun baru. Walaupun begitu, jangan pula kita tinggalkan kawan yang tidak memberi kesan positif kepada diri, tetapi sebaliknya bantulah mereka dengan mengajak mereka bersama-sama ke arah peningkatan diri yang lebih baik.

Selain itu, muhasabah atau refleksikan diri. Ambil masa sejenak untuk kita merefleksikan diri, menilai tindakan kita dan berusaha untuk terus memperbaiki diri. Dengan cara ini, kita secara tidak langsung melatih diri untuk tidak mudah melatah sebaliknya akan lebih berfikiran rasional dalam menghadapi cabaran dan rintangan yang mendatang sepanjang proses mencapai azam tersebut.

Tips seterusnya adalah self-love di mana kita bina aura positif dalam diri dengan menghindari perkara yang boleh merugikan diri kita, mengenal pasti kelebihan diri yang ada, melihat diri dari sudut pandang yang positif dan mengembangkan bakat serta potensi diri agar kita lebih menghargai diri kita.

Ini bukan sahaja memberikan dorongan moral, tetapi juga membantu kita berkembang sebagai individu yang lebih seimbang dan positif dalam menghadapi segala variasi kehidupan dan dapat mencapai matlamat kehidupan yang ditetapkan dengan jayanya.

Dalam mengejar matlamat yang diidamkan, tentu kita tidak terlepas daripada cabaran yang menguji ketahanan kita. Namun, jangan pernah sesekali kita tunduk pada rintangan, sebaliknya kita tempuhi cabaran tersebut dengan persediaan diri yang matang sekali gus meningkatkan daya ketahanan diri ke tahap yang lebih optimum.

Daya ketahanan diri adalah satu proses yang membolehkan seseorang untuk berhadapan dengan kesukaran, trauma atau tekanan. Ia membantu kita untuk ‘bangkit semula’ setelah mengalami fasa yang sukar dalam­ kehidupan. Daya tahan atau ketahanan diri adalah penting semasa kita menghadapi dan mengharungi sesuatu cabaran yang menguji kemampuan kerana ketahanan diri yang kuat dapat membantu dalam membina benteng pertahanan diri daripada pelbagai elemen yang boleh menjejaskan keseimbangan hidup.

Justeru, bagaimana untuk kita membina daya tahan diri yang mantap? Ini dapat dicapai melalui perhatian yang menyeluruh terhadap penjagaan diri yang melibatkan aspek jasmani, emosi dan rohani, bina hubungan yang baik dengan rakan-rakan dan orang sekeliling serta fokus kepada kelebihan diri dan bukannya kelemahan diri.

Tegasnya, di setiap cabaran yang kita hadapi terletak peluang untuk kita memperkuat diri dan berkembang sebagai individu yang lebih hebat. Dengan strategi yang mantap dan daya ketahanan diri yang baik, kita dapat menghadapi setiap liku-liku hidup dengan keyakinan dan keberanian diri.

Jadi, mari kita teruskan melangkah ke hadapan, menjadikan setiap cabaran sebagai batu loncatan ke arah kejayaan dan kesejahteraan yang lebih besar dalam menggapai azam tahun ini. Selamat mengharungi tahun baharu dengan azam yang diperbaharui dan semangat yang membara!

Penulis Dr Azmawaty Mohamad Nor merupakan Ketua Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas