Artikel

Buat saringan kesihatan atau tidak?

MATLAMAT ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum ia menjadi tidak terurus
- Diterbit 29 Januari 2024 1:03 PM MYT

SETIAP dekad dalam hidup ini membawa cabaran kesihatan baharu dan pemeriksaan kesihatan secara tetap boleh membantu mengesan masalah lebih awal. Beberapa nasihat penting perlu sentiasa disampaikan supaya lebih proaktif tentang kesihatan mereka.

Ini kerana kebanyakannya keberatan untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. Sudah tentu ia bukanlah satu idea yang menyeronokkan! Malah, setiap peluang yang ada digunakan untuk menangguhkan atau terus mengelak melakukannya.

Ramai yang berfikiran ‘lebih baik saya tak tahu apa-apa, eloklah saya jalani sahaja hidup ini, ia hanya membuang masa dan wang’ .

Adakah sentimen ini seperti biasa anda dengar? Memanglah ia sesuatu yang normal untuk berasa begitu terutama apabila merasakan hidup sudah cukup sibuk dengan urusan kerjaya.

Namun begitu pemikiran begini boleh memudaratkan kesihatan kita untuk jangka panjang. Wanita, apatah lagi seorang ibu lebih cenderung untuk meletakkan keperluan orang lain melebihi keperluan diri sendiri. Oleh itu, adalah penting untuk lebih ramai wanita belajar mengutamakan diri dan menjadi proaktif tentang kesihatan mereka.

Matlamat ujian saringan adalah untuk mengesan perubahan dalam badan sebelum ia menjadi tidak terurus. Dengan cara ini, anda berpeluang mengubah suai gaya hidup dan mengelak penyakit tertentu.

Secara ringkasnya, ini bermakna anda perlu menjalani pemeriksaan kesihatan semasa anda sihat! Jadi, bila saya perlu mula menjalani pemeriksaan kesihatan?

Badan kita melalui proses penuaan semula jadi, dan matlamatnya adalah untuk menua secara sihat. Secara amnya, wanita berumur antara 19 hingga 24 tahun dianggap berada di kemuncak kesihatan.

Selepas itu, bermula usia 25 tahun, lemak mula terkumpul terutamanya di pinggul, paha dan perut. Jisim otot pun semakin merosot. Dari umur 35 tahun, jisim tulang berkurangan pada kadar 0.5-1 peratus setahun. Semua itu adalah perubahan semula jadi walaupun setiap orang ada perbezaannya.

Seharusnya pemeriksaan tahunan dilakukan sejurus mencapai usia dewasa contohnya apabila anda mula bekerja dan dua kali setahun selepas berumur 45 tahun. Ada begitu banyak jenis ujian dan perlu diambil tahu bahawa ujian saringan yang mana harus diutamakan.

Statistik penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi telah meningkat dalam kalangan masyarakat selama bertahun-tahun. Oleh itu, beliau dicadangkan pemeriksaan kesihatan tahunan untuk semua orang dewasa yang sihat harus bermula dengan langkah seperti:

1. Tekanan darah untuk memeriksa hipertensi. Penyakit yang dikenali sebagai pembunuh senyap ini berkembang tanpa gejala yang ketara dan menjejaskan tiga daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira 6.4 juta orang serta meningkatkan risiko strok dan serangan jantung.
2. Kiraan darah untuk mengesan penyakit seperti anemia. Secara purata, anemia menjejaskan tiga daripada 10 orang wanita berumur 15 hingga 49 tahun dan boleh menyebabkan komplikasi semasa hamil seperti keguguran dan kelahiran pramatang.
3. Ujian glukosa darah untuk memeriksa diabetes. Kira-kira satu daripada lima orang dewasa menghidap diabetes bersamaan dengan 3.9 juta orang dewasa.
4. Indeks jisim badan (BMI) untuk memantau kenaikan berat badan dan membantu mencegah obesiti. Statistik kebangsaan menunjukkan bahawa satu daripada dua orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes, manakala seorang daripada dua orang mempunyai obesiti perut, di mana wanita masing-masing menyumbang 54.7 peratus dan 64.8 peratus.
5. Ujian lipid untuk memeriksa peningkatan paras kolesterol yang boleh menyebabkan penyakit jantung. Sekitar empat daripada 10 rakyat Malaysia, iaitu kira-kira lapan juta orang mengalami tahap kolesterol yang tinggi. Wanita lebih berkemungkinan mempunyai tahap lebih tinggi berbanding lelaki. Walaupun begitu, seorang daripada empat orang tidak menyedari yang mereka mempunyai kolesterol tinggi.
6. Fungsi buah pinggang dan profil hati kerana penyakit buah pinggang kronik menjejaskan seorang daripada tujuh orang rakyat Malaysia dan diabetes merupakan faktor risiko yang ketara.

Cegah sebelum terlambat

Apabila usia anda meningkat disyorkan untuk menjalani pemeriksaan mata tahunan, ujian pendengaran dan pemeriksaan pergigian.

Apa pula ujian yang khusus untuk wanita? Beberapa ujian saringan amat penting untuk wanita, iaitu pap smear untuk memeriksa kanser serviks, pemeriksaan payudara untuk mengesan kanser payudara dan imbasan kepadatan mineral tulang untuk mengesan osteoporosis.

Kanser serviks adalah salah satu penyakit khusus apabila wanita semakin usia. Berdasarkan sejarah, kanser serviks pernah menjadi salah satu kanser yang dominan dalam kalangan wanita dengan 500,000 kes baharu setahun di seluruh dunia dan 250,000 kematian.

Disebabkan kita mempunyai program saringan yang cekap melalui penggunaan pap smear, kita berupaya mengurangkan kes kanser serviks dengan banyak sekali. Ia adalah kemajuan paling ketara dalam kawalan kanser. Justeru, pemeriksaan tahunan untuk kanser serviks adalah sesuatu yang sangat digalakkan.

Ujian pap smear melibatkan pengambilan sedikit sampel tisu dari serviks, yang akan diperiksa untuk keganjilan atau perubahan yang boleh menjadi tanda kanser serviks. Bagaimanapun, di sebalik keberkesanannya sebagai ujian saringan, satu kajian baru-baru ini mendapati hanya 45 peratus wanita Malaysia pernah menjalani ujian tersebut.

PENULIS Dr Muralitharan Ganesalingam merupakan Ketua Jabatan Obstetrik dan Ginekologi, Fakulti Perubatan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU).

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas