Artikel

Hilangnya nama Kampung Kerinchi

KAMPUNG Kerinchi kini dikenali sebagai Bangsar South.
- Diterbit 3 Februari 2023 7:45 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan bebas

TAHUN 1980 saya bersama-sama dua rakan dari kampung pernah tinggal di Kampung Kerinchi, Kuala Lumpur. Kami bertiga bekerja di kilang membuat dapur minyak di Seksyen 14 Petaling Jaya. Ketika itu Kampung Kerinchi sebuah perkampungan Melayu yang besar selepas Kampung Baru.

Ketika itu keberadaan sebuah perkampungan besar di tengahtengah Kuala Lumpur adalah suatu yang unik. Di sekitarnya sudah mulai dibangunkan bangunan tinggi dan rumah pangsa. Kampung Kerinchi menjadi pilihan orang seperti kami kerana ada rumah setinggan yang murah sewanya.

Menurut sejarah, kampung itu dibuka oleh orang Kerinchi yang merantau dari Aceh, Jambi dan Minangkabau di Sumatera. Sebahagian daripada mereka melarikan diri daripada penjajah Belanda. Pada masa yang sama ada juga yang merantau sebagai ikhtiar mencari kehidupan yang lebih baik.

Orang Kerinchi difahamkan minat bertani dan kampung itu yang berbukit dan tanahnya pula sangat sesuai untuk pertanian. Kampung yang baru diteroka itu menjadi kawasan pertanian utama di Kuala Lumpur. Daripada kawasan yang terbiar, kampung itu menjadi kawasan petempatan yang besar.

Maka nama Kerinchi yang diabadikan pada sebuah petempatan di Kuala Lumpur itu ada sejarahnya. Oleh hal yang demikian semestinya nama Kerinchi terus lestari sekalipun terpaksa berubah wajah menjadi kawasan kediaman yang mewah.

Tidak ada nama yang lain yang menunjukkan asal sejarahnya kecuali Kampung Kerinchi yang menjadi tapak petempatan orang Kerinchi. Tidak boleh dipadam dengan sewenang-wenang atas alasan apa sekalipun. Kalau dilakukan, itu satu tindakan yang kurang beradab.

Masa yang sama nama Kerinchi itu sendiri tidak menghalang kemajuan yang dilakukan di kampung berkenaan. Kerinchi tetap membawa nilai-nilai setempat dalam konteks alam Melayu Nusantara. Maka mesti dikekalkan sekalipun kawasan setinggan itu berubah wajah sosialnya menjadi moden dan elit.

Akan tetapi nama Kerinchi sudah hilang apabila kawasan itu dibangunkan selari dengan tuntutan kehidupan moden di Kuala Lumpur. Nama Kerinchi dianggap seolah-olah membawa imej kolot dan tidak selari dengan pembangunan pesat yang dilakukan di kawasan berkenaan.

Kawasan itu kini dikenali sebagai Bangsar South. Pelik juga kerana Kampung Kerinchi tidak termasuk dalam kawasan Bangsar. Akan tetapi isunya bukan Bangsar, sebaliknya nama Bangsar South yang menggantikan Kerinchi.

Adakah sekiranya mengekalkan nama Kerinchi, pembangunan dan permodenan di kawasan itu akan berdepan kegagalan? Atau apakah nama Kerinchi itu membawa maksud yang tidak menunjukkan kemajuan pada kawasan berkenaan?

Sebenarnya mempertahankan nama Kerinchi bukanlah rasa sentimental yang melulu. Sebaliknya nama itu membawa maksud sejarah yang semestinya dikekalkan sebagai rujukan generasi akan datang. Sejarah masa depan ditulis pada hari ini, maka yang ditulis adalah Bangsar South yang tidak bersandarkan apa-apa.

Pihak yang bertanggungjawab atas pertukaran nama itu tidak dapat memberikan alasan yang munasabah. Malah dalam peraturannya juga untuk memberi nama pada sesuatu kawasan atau premis mesti mendapat kebenaran daripada beberapa pihak.

Apakah semua pihak yang berkenaan itu terlepas pandang ketika usaha menukar dan memadamkan nama Kerinchi menjadi Bangsar South? Sebagai bangsa dan negara yang mengaku sudah merdeka, hal ini adalah suatu yang besar. Kenapa terlalu mudah meleburkan nama yang membawa ciri-ciri tempatan di Kuala Lumpur?

Khabarnya, disebabkan desakan masyarakat setempat, nama Bangsar South ditukar menjadi Bangsar Selatan – terjemah ke bahasa Melayu. Nama Kerinchi terus hilang. Lebih malang lagi pertukaran nama Bangsar Selatan tidak dilakukan dengan penuh keinsafan dan iltizam.

Nama Bangsar Selatan tidak dipromosi sehebat Bangsar South pada awalnya.

Bangsar South terus kekal pada Kampung Kerinchi. Nama Bangsar Selatan sekadar memenuhi tuntutan pihak tertentu yang peka terhadap kehilangan nama-nama yang membawa nilai setempatnya. Seperti melepaskan batok di tangga – asal buat tetapi tidak diiringi dengan kesungguhan.

Lagu Bangau Oh Bangau kembali berkumandang apabila ada pihak yang bertanya siapakah sebenarnya yang bertanggungjawab atas sikap yang tidak patriotik ini. Itu kata ini dan ini kata itu. Semua tidak mengaku bertanggungjawab. Kampung Kerinchi bukan sahaja hilang fizikalnya, akan tetapi sejarahnya.

Saya dengan sengaja pernah bertanya kepada seorang pemilik premis perniagaan di Bangsar, “Di mana Bangsar Selatan?” Dia kebingungan. Sambil menggarugaru kepala dia meminta saya memastikan ketepatan tempat yang ditanya itu. Saya ulangi, “Bangsar Selatan.”

Dengan penuh hemah dia memberitahu tidak ada nama itu sekalipun sudah berniaga di situ sejak lebih 30 tahun lalu. Dia kelihatan sangat bersungguhsungguh untuk membantu saya, akan tetapi tidak tahu di mana Bangsar Selatan.

Apabila saya bertanyakan ‘Bangsar South’ dengan pantas dia menunjukkan arahnya. Katanya, nama sebenar adalah Bangsar South, bukan Bangsar Selatan. Tidak ada orang yang tahu di mana Bangsar Selatan. Adakah mereka yang duduk dalam bilik berhawa dingin sedar akan hakikat ini?

Saya sangat yakin semua perkara itu – mengenepikan nama tempatan atau Melayu ada kaitannya dengan kesan penjajahan. Sebagai sebuah negara yang lama dijajah, kesannya tidak hilang semudah melaungkan merdeka pada 31 Ogos 1957. Penjajahan pemikiran berlaku dalam segenap lapisan dan kelompok.

Nama-nama yang berbau keinggerisan dianggap membawa maksud moden dan maju. Masingmasing berlumba untuk memberi nama yang tidak berbau setempat atau Melayu. Untuk kelihatan maju, fikir mereka yang pegang kuasa, mesti menggunakan nama yang berbau keinggerisan.

Sebenarnya hanya kemerdekaan yang sebenar sahaja yang boleh mengembalikan semangat pada bangsa dan negara. Bayangkan selepas enam dekad ‘merdeka’, nilai-nilai keinggerisan terus tebal dalam pemikiran – termasuk dalam kalangan pembuat dan pelaksana dasar.

Isu Bangsar South tidak berlaku sekiranya semua pembuat dan pelaksana dasar kita memerdekakan pemikiran mereka. Bangsar South hanya satu daripada sekian banyak mana berbau keinggerisan yang dipacak di Kuala Lumpur. Sepatutnya perkara ini tidak berlaku kerana kemerdekaan itu semestinya memerdekakan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas